‘Melakar Masa Depanku’ oleh i-GURU beri pendedahan tanggungjawab pelajar dalam kampus dan masyarakat

SUNGAI DUA, 24 Rabiul awal 1439H, Rabu – Buat julung-julung kalinya, Ikatan Guru-Guru Muslimin Malaysia, i-GURU Pulau Pinang berjaya menganjurkan program Melakar Masa Depanku buat para belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Sabtu, 2 Disember yang lalu.

Bertempat di Pantai Teluk Bayu, program santai yang bermula jam 8.30 pagi sehingga pukul 2 petang ini, diisi padat dengan pelbagai aktiviti menarik seperti ice breaking, explorace dan slot pengisian. Terdapat juga slot pengenalan oleh PEMUDA dan PEMBINA Pulau Pinang, selaku penganjur bersama program.

Menurut pengarah program, Puan Norain Ab Manan, “Melakar Masa Depanku” bertujuan merapatkan silaturrahim antara guru dan pelajar dengan agensi i-GURU, PEMBINA dan PEMUDA, serta memberi pendedahan yang jelas tentang hala tuju dan tanggungjawab seorang pelajar dalam menghadapi realiti umat Islam masa kini.

“Sebelum masuk IPT atau IPTS, sangat penting bagi pelajar untuk ada hala tuju yang jelas. Pelajar perlu tahu apa yang ingin dipelajari dan bagaimana untuk menyumbang ilmu tersebut ketika berada di kampus dan setelah tamat belajar,”

“Zaman sekarang ini, banyak gejala sosial, serangan pemikiran dan ancaman berlaku khususnya pada masyarakat Islam. Para pelajar mesti sedar tentang ancaman-ancaman tersebut supaya tidak mudah terjebak,” tambah beliau.

I-GURU, PEMBINA dan PEMUDA berbesar hati mengajak para pelajar serta golongan mahasiswa untuk menyertai aktiviti-aktiviti anjuran mereka yang terdapat di seluruh negara pada masa akan datang.

“Diharapkan program sebegini dapat memberi impak yang besar kepada peserta-peserta yang telah menamatkan SPM. Semoga mereka dapat berbakti kepada masyarakat di IPT mahupun setelah bekerja”, kata Cikgu Syafiq, wakil dari i-GURU Pulau Pinang.

 

Oleh

Noradawiyah Nordin

Wartawan Biro Komunikasi dan Multimedia

ISMA Seberang Perai Utara (SPU)