Kem Huffaz Cilik Semai Cintakan Al-Quran

KULIM, 22 Rabiul Awal 1439H, Isnin  – Selari dengan objektif utama untuk mendidik dan memupuk anak-anak menyintai Al-Quran, Kem Huffaz Cilik anjuran Kelab NAZIM Seberang Perai Utara (SPU) dengan kerjasama Kelab NAZIM Kulim dan Surau Al-Ittihad Kulim Perdana tampil lagi pada tahun ini.

Kem berlangsung selama empat hari bermula 4 hingga 7 Disember 2017, tetapi para peserta tidak perlu bermalam. Kem ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat, menyaksikan seramai 63 penyertaan diterima daripada kanak-kanak dalam lingkungan tujuh hingga 12 tahun.

Pengarah Kem Huffaz Cilik Kulim 2017, Puan Wan Nor Anisah Wan Abdullah berkata, kem kali ini dianjurkan untuk melahirkan persekitaran yang soleh dan solehah, di samping menjadikan Al-Quran sebagai peneman anak-anak setiap hari.

“Objektif utama program adalah untuk menanam minat anak-anak dalam menghafaz Al-Quran sedari kecil. Ia juga bagi mewujudkan dan menggalakkan mereka berinteraksi dalam persekitaran dan suasana yang baik seterusnya memantapkan jati diri mereka. Secara tidak langsung, anak-anak tedidik untuk mengisi masa lapang, seperti cuti sekolah dengan perkara yang bermanfaat”, ujarnya.

Pelbagai aktiviti disusun sepanjang kem berlangsung bagi menepati objektif tersebut. Hafazan merupakan aktiviti utama yang diadakan setiap hari. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dengan dipantau oleh para fasilitator yang berwibawa. Mereka tidak dilatih untuk hafazan semata, bahkan turut dididik untuk menunaikan solat sunat Dhuha dan solat fardhu secara berjemaah.

Setiap pagi anak-anak ini didedahkan dengan santapan minda bertemakan video tayangan dan senaman.  Tambah menarik, mereka dilatih berdikari bagi menyediakan makanan sendiri melalui slot Mr & Mrs. Baker. Seterusnya, pada hari kedua stamina mereka teruji dalam slot memanah. Sesi petangnya pula, mereka diajar mengenali hukum tajwid yang dikendalikan oleh Ustaz Usamah dan Ustazah Diana.

Slot Bijak Berbicara yang disampaikan oleh Coach Bahar dari AMPAC Penang diadakan pada hari ketiga program. Pada hari terakhir, peserta menyertai Running i-Man iaitu explorace yang menguji ilmu tajwid yang dipelajari pada hari sebelumnya. Kemuncaknya, para peserta bersama-sama kumpulan mereka mengadakan persembahan dan menerima cenderahati dan hadiah daripada pihak penganjur.

Sepanjang empat hari program berlangsung, kesemua waris dan para peserta memberi maklum balas yang positif. Mereka berharap dan ingin menyertai program sebegini lagi pada masa akan datang. Salah seorang waris, Puan Nurfarhana Md. Sharif melahirkan perasaan gembira di atas penganjuran program seumpama ini.

“Anak-anak seronok sangat. Banyak yang mereka dapat pelajari. Harap tahun depan ada lagi dan masa pun lebih lama. Terima kasih NAZIM. Jasa kalian amatlah dikenang dan semoga diberkati Allah,” katanya.

 

 

 

 

Oleh

Nur Husnuzzan binti Azizan

Wartawan Kelab NAZIM Kulim