Anak-anak hebat NAZIM SPU manfaatkan cuti sekolah dengan cinta Al-Quran

KEPALA BATAS, 24 Rabiul Awal 1439H, Rabu – Kelab NAZIM Seberang Perai Utara(SPU) dengan kerjasama Surau Al-Furqan, Taman Sri Indah sekali lagi menganjurkan Kem Huffaz Cilik bagi penduduk sekitar Bertam dan Kepala Batas pada 4 hingga 7 Disember baru-baru ini. Kem tidak bermalam ini mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat. Seramai 28 penyertaan diterima daripada kanak-kanak dalam lingkungan enam hingga 12 tahun.

Pengarah Kem Huffaz Cilik SPU 2017, Ustazah Nor Zaiton Binti Saad berkata, objektif utama program kali ini adalah untuk mendidik dan memupuk anak-anak kecil ini menyintai Al-Quran, khususnya melalui cara hafazan. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kem sebegini menggalakkan mereka berinteraksi dalam persekitaran yang baik seterusnya memantapkan jati diri mereka. Bahkan, secara tidak langsung mendidik untuk mengisi masa lapang dengan perkara yang bermanfaat.

“Semua aktiviti disusun untuk menarik minat anak-anak dan paling pentingnya, bagi mencapai objektif-obektif program. Pihak NAZIM SPU sangat berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang oleh pihak Surau Al-Furqan untuk menggunakan surau  berkenaan pada tahun ini”, ujarnya.

Hafazan berfokus merupakan aktiviti utama yang diadakan setiap hari. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil mengikut tahap dengan dipantau oleh para fasilitator yang berwibawa. Mereka tidak dilatih untuk hafazan semata, bahkan turut dididik untuk menunaikan solat sunat Dhuha dan solat fardhu secara berjemaah.

Setiap pagi, anak-anak dihidangkan santapan minda bertemakan video tayangan dan senaman.  Tambah menarik, pada hari pertama mereka dilatih berdikari dalam menyediakan makanan sendiri melalui slot Chef Junior sebelum berangkat pulang. Seterusnya, pada hari kedua stamina mereka mula teruji dalam slot Explorace. Mereka didedahkan pula dengan eksperimen mudah dalam slot i-backyard science pada hari ketiga kem. Pada hari terakhir, majlis penutupan program telah dijalankan bagi mengakhiri Kem Huffaz Cilik pada tahun 2017 ini.

Kesemua waris dan para peserta memberi maklum balas yang positif sepanjang empat hari Kem Huffaz Cilik Kepala Batas, SPU berlangsung. Mereka ingin menyertai program sebegini lagi pada masa akan datang. Puan Maznah, salah seorang waris melahirkan perasaan gembira dan bersyukur atas penganjuran program seumpama ini.

“Anak-anak seronok! Banyak peningkatan yang dapat dilihat. Harap tahun depan ada lagi dan boleh berfokus kepada solat pula. Terima kasih kelab NAZIM SPU. Jasa penganjur akan kami kenang dan semoga diberkati Allah selalu,” tambahnya.

 

 

Oleh

Fatin Athirah Binti Abdul Aziz

Wartawan Kelab NAZIM SPU