Nazim Kulim belajar meneladani Doa Taubat Nabi Yunus

 

Kulim, 7 November – Selari dengan matlamatnya untuk melahirkan anak-anak hebat, Kelab NAZIM Kulim tampil dengan menganjurkan program bertemakan kisah Nabi Yunus a.s.

Menurut Pengarah Program, Noor Diana Salleh, program ini bertujuan untuk mendidik dan menyemai akhlak dalam meneladani kisah taubat Nabi Yunus kepada Allah SWT dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Bahkan, mereka juga ditekankan kepentingan memahami kisah Nabi Yunus dan menghayati erti taubat.

Ustazah Wan Nor Anisah Wan Abdullah, dalam tazkirahnya menceritakan, Nabi Yunus a.s diutuskan kepada penduduk Niwana. Puas Baginda menyeru mereka menyembah Allah dan menjauhi berhala. Mereka tetap berdegil dan tidak mengendahkan seruan Baginda. Keadaan itu menyebabkan Baginda merasa marah dan berdoa  kepada Allah agar mereka menerima hukuman sewajarnya.

“Baginda pergi membawa diri dan ditakdirkan Allah, Baginda menaiki sebuah kapal. Dalam pelayaran tersebut, kapal yang dinaiki berhadapan dengan ribut taufan yang kuat. Nakhoda kapal memutuskan, barang-barang  perlu dikurangkan termasuk penumpangnya. Selepas undian dibuat, ditakdirkan Baginda perlu dibuang ke laut. Dengan izin Allah, seekor ikan Nun menelan Baginda hidup-hidup tanpa mencacatkan Baginda sedikitpun. Dalam perut ikan tersebut, Baginda berdoa memohon keampunan kepada Allah di atas kesilapannya meninggalkan penduduk Niwana. Allah SWT memperkenankan doa Baginda dan kembali berdakwah kepada penduduk Niwana,”

“Semua orang melakukan dosa dan kesilapan. Justeru itu, apabila kita melakukan kesalahan perlulah minta maaf dan keampunan. Dosa ni tidak tertakluk pada yang besar sahaja. Bahkan kalau ibu bapa minta tolong, dan kita enggan itupun satu dosa juga. Jadi, kena minta maaf,” ujarnya.

Sementara itu, menurut salah seorang waris peserta, Zairie Illani Zakaria berkata, beliau bersyukur anak-anaknya sangat seronok apabila menyertai program ini. Sementara itu, Manisah Che Nawi pula melahirkan perasaan terima kasih kepada pihak penganjur dan berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi.

Oleh Nur Husnuzzan bt Azizan

Wartawan Kelab NAZIM Kulim