Karnival Sukan Remaja Islam (KASRIM) KRIM Pulau Pinang dapat sambutan

KULIM, 25 Safar 1439H, Rabu – Bersempena Karnival Sukan Remaja Islam yang berlangsung di seluruh negara, KRIM Pulau Pinang turut besama-sama meraikannya dengan mengadakan pertandingan boling pada Sabtu, 11 November lalu.

Bertempat di Kulim Landmark Central, perlawanan boling KRIM Pulau Pinang ini meriah dengan penyertaan 17 orang remaja berumur 14 hingga 16 tahun, berasal dari sekitar kawasan Pulau Pinang dan Kedah.

Karnival bermula dengan sesi suai kenal antara peserta, diteruskan dengan tazkirah ringkas. Seterusnya sebanyak tiga perlawanan boling dipertandingkan secara individu bagi lelaki dan perempuan. Program bermula 10.30 pagi hingga 2.00 petang itu menyaksikan juara bagi kategori lelaki dan perempuan menerima hadiah masing-masing.

“Islam sesekali tidak pernah melarang kita untuk beriadah atau bersukan. Cuma kita sendiri perlu bijak menilai dengan siapa kita nak beriadah, pakaian apa kita pilih. Semua itu perlu mengikut batas syara’ yg ditetapkan” ujar pengarah program, Siti Fayyadhah Fathy dalam tazkirahnya.

Sis Fayyadhah berkata, “Alhamdulillah karnival kali ini berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektifnya iaitu memberi kesedaran kepada generasi muda untuk mengamalkan budaya bersukan”

“Diharapkan karnival ini dapat melahirkan remaja-remaja yang minat bersukan, faham dan mengikut tuntutan syara’ yang islam gariskan ketika beriadah dan bersukan”, tambahnya.

 

Oleh

Siti Nadirah Ahmad

Wartawan KRIM Pulau Pinang