ISMA SPU bantu mangsa banjir

SUNGAI DUA, 13 November 2017 – Misi membantu mangsa yang terjejas teruk banjir baru-baru ini dilakukan di beberapa kawasan di Layar Yooi, Sungai Dua dan sekitarnya untuk membersihkan serta membaiki kediaman yang rosak.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) menghantar lebih kurang 60 orang ahli yang dipecahkan mengikut kumpulan untuk menyelesaikan misi membersihkan kawasan selepas air banjir surut.

Sementara itu, Ketua Wanita ISMA SPU, Puan Shahilah Nordin serta Penolong Ketua Syukbah Bertam, Puan Nor Emmyza Mustapha sempat menziarahi 15 keluarga mangsa banjir dan menyampaikan bantuan berbentuk wang dan beras.

“Bantuan sukarelawan dan sumbangan sememangnya diperlukan untuk meringankan beban mangsa banjir dan membersihkan kediaman yang terjejas,”

“Ada kawasan yang naik sehingga paras pinggang yang meninggalkan bekas lumpur di dalam rumah,” katanya.

Mangsa banjir, Noradawiyah Nordin berkata,  dia dan keluarganya merasa lega selepas air yang memasuki rumahnya sejak Jumaat lalu sudah surut dan mengambil kesempatan untuk bergotong-royong bagi membersihkan rumahnya.

“Sofa, katil, mesin basuh dan perabot lain terpaksa dibasuh semula dan dikeringkan kerana tidak sempat diselamatkan semasa banjir,” katanya.

Kejadian hujan lebat dan air pasang pada Sabtu lalu, menyebabkan Pulau Pinang dilanda banjir dengan lebih 7,000 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan.

Oleh Azidatul Anis Aziz