Dzun Nun: Meneladani taubat Nabi Yunus

Sungai Nibong, 5 November- Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM) sudah sinonim dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai dan akhlak Islami melalui program bulanannya. Kelab NAZIM Tanjung tampil dengan menganjurkan program bertemakan kisah Nabi Yunus AS.

Menurut Pengarah Program, Hafizah July, program ini bertujuan untuk mendidik dan menyemai akhlak dalam meneladani kisah taubat Nabi Yunus kepada Allah SWT dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Bahkan, mereka juga ditekankan kepentingan memahami kisah Nabi Yunus dan menghayati erti taubat.

Penglibatan kali ini melibatkan hampir 30 orang peserta terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur tujuh hingga 12 tahun. Program ini diadakan di Surau Flat Sri Angggun, Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Saudara Aiman Hazim, dalam tazkirahnya menceritakan, Nabi Yunus AS diutuskan kepada penduduk Niwana. Puas Baginda menyeru mereka menyembah Allah dan menjauhi berhala. Mereka tetap berdegil dan tidak mengendahkan seruan Baginda. Keadaan itu menyebabkan Baginda merasa marah dan berdoa  kepada Allah agar mereka menerima hukuman sewajarnya.

“Baginda pergi membawa diri dan ditakdirkan Allah, Baginda menaiki sebuah kapal. Dalam pelayaran tersebut, kapal yang dinaiki berhadapan dengan ribut taufan yang kuat. Nakhoda kapal memutuskan, barang-barang  perlu dikurangkan termasuk penumpangnya. Selepas undian dibuat, ditakdirkan Baginda perlu dibuang ke laut. Dengan izin Allah, seekor ikan Nun menelan Baginda hidup-hidup tanpa mencacatkan Baginda sedikitpun. Dalam perut ikan tersebut, Baginda berdoa memohon keampunan kepada Allah di atas kesilapannya meninggalkan penduduk Niwana. Allah SWT memperkenankan doa Baginda dan kembali berdakwah kepada penduduk Niwana,”

“Semua orang melakukan dosa dan kesilapan. Justeru itu, apabila kita melakukan kesalahan perlulah minta maaf dan keampunan. Dosa ni tidak tertakluk pada yang besar sahaja. Bahkan kalau ibu bapa minta tolong, dan kita enggan itupun satu dosa juga. Jadi, kena minta maaf. “ujarnya.

Menurut salah seorang waris peserta, Puan Azlina berkata, beliau bersyukur anak-anaknya sangat seronok menyertai program ini. Malah, mereka boleh pula menceritakan semula kisah Nabi Yunus setelah pulang ke rumah.

Oleh Siti Nur Ain Zulkeply

Ketua Biro NAZIM Tanjung