Besar ganjaran berbuat baik kepada Ibu bapa

SEBERANG JAYA, 19 November 2017, Ahad – Darjat ibu bapa di sisi Allah SWT berada di  kedudukan tertinggi sehingga Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya.

Aktivis Wanita ISMA SPU, Ustazah Norhayati Abdul Wahab berkata pengorbanan ibu bapa membesarkan anak-anak tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit atau harta benda.

“20 tempat di dalam al-Quran yang menceritakan kewajipan untuk anak-anak berbuat baik kepada ibu bapa,

“Tanggungjawab seorang anak menjaga dan memelihara ibu bapa ketika tua adalah satu amal yang besar pahalanya di sisi Allah SWT kerana memerlukan kesabaran yang tinggi,” katanya semasa Usrah Wanita yang menghuraikan tafsir surah Luqman ayat 14-15.

Tambahnya lagi, ibu merupakan insan yang banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak-anak.

“Segala kesusahan ketika mengandung, melahirkan serta menyusu sukar digambarkan,” katanya.

Ustazah Norhayati berkata lagi, keberkatan rezeki seorang anak diperoleh apabila berkongsi rezeki bersama-sama dengan ibu bapa.

“Jangan rasa terbeban untuk berkongsi rezeki dengan ibu bapa kerana melalui perkongsian tersebut akan meluaskan rezeki dalam hidup seseorang,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berpesan supaya ibu bapa mendidik anak-anak untuk menghormati dan menunjukkan contoh yang baik.

Oleh Azidatul Anis Aziz