Belajar Teknik Yang Betul Menggunakan Photoshop

SUNGAI DUA, 11 Safar 1439H, Rabu – Minat yang tinggi dalam bidang seni grafik dan multimedia mendorong 10 peserta untuk menyertai Bengkel Photoshop for Beginner anjuran Biro Komunikasi dan Multimedia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU) di pejabat rasmi ISMA SPU, Sabtu yang lalu.

Pengarah projek, Latifah Hashim berkata, program ini bertujuan mendedahkan para peserta tentang kegunaan photoshop dalam rekaan grafik serta memberi bimbingan teknik yang betul dalam menggunakan aplikasi photoshop bermula daripada asas sehinggalah boleh menghasilkan satu poster dan grafik 2D.

“Kami harap bengkel ini dapat mengasah bakat terpendam dan melahirkan lebih ramai aktivis ISMA SPU yang boleh mereka grafik dan menghasilkan gambar yang baik untuk paparan umum”, katanya.

Saudari Latifah, merangkap Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia ISMA SPU sendiri yang memberi tunjuk ajar kepada para peserta berdasarkan pengalamannya yang telah menghasilkan poster dan karya grafik untuk ISMA SPU sebelum ini.

Seorang peserta, Nur Husnuzzan Azizan berkata, bengkel ini mengajarnya teknik menggunakan photoshop secara betul dan teratur untuk edit dan menghasilkan poster.

“Pengajaran mudah faham. Baru sekarang saya tahu guna photoshop ini walaupun sudah lama dimuat naik dalam komputer riba”, ujarnya.

Peserta kedua, Fatin Athirah Abdul Aziz berkata, bengkel ini memberi banyak ilmu bermanfaat untuk digunakannya dalam media NAZIM, Kelab Anak Hebat ISMA SPU pada aktiviti dan masa akan datang.

“Saya masih baru dalam bidang media ini. Banyak ilmu baru saya dapat pagi ini. InsyaAllah saya akan cuba menggunakan teknik yang diajarkan dalam bengkel photoshop ini sebaiknya”, tambahnya.

 

Oleh

Noradawiyah Nordin

Wartawan Biro Komunikasi dan Multimedia

ISMA Seberang Perai Utara (SPU)