Suami, tanda kebesaran Allah

SUNGAI DUA, 16 Muharram 1439H, Sabtu – “ Salah satu tanda kebesaran Allah S.W.T adalah dengan menjadikan kamu berpasang-pasangan, agar kamu mendapat ketenangan, berkasih sayang dan saling mengasihani, ”ujar Ustazah Norakhilah Baharim dalam sebuah program Kerana Aku Isteri Dia (KAID) di sini semalam.

Apabila seseorang wanita itu berkahwin, fitrah dan kasih sayang dalam diri akan membantu si isteri untuk melaksanakan tanggungjawab dan berbuat baik kepada suami. Para peserta diajak untuk merenungi kisah wanita terawal memasuki syurga di zaman Rasulullah SAW. Wanita itu merupakan seorang isteri yang taat, sentiasa berhias untuk suami, dan bersedia untuk dinasihati suaminya.

Sesiapa yang bergelar isteri perlu sedar tentang amanah Allah ini, di samping mempersiapkan diri dengan ilmu semasa berkaitan rumah tangga. Jangan mengeluh dalam menjalankan kewajipan sebagai isteri, harapkanlah balasan hanya dari Allah S.W.T.

“Isteri perlu berusaha untuk mewujudkan hubungan yang baik bersama suami serta tidak membebankan suami dengan sesuatu yang di luar kemampuannya. Sentiasalah keluarkan kata-kata yang baik dan bantu-membantu dalam melaksanakan amanah sehingga mendapat kebahagiaan dan ketenangan dalam rumah tangga” jelas ustazah lagi.

Prinsip yang perlu dipegang erat adalah kita perlu mengenal dan meyakini pencipta yang Maha Agung yang telah memberikan pasangan buat kita, sama ada suami atau isteri, iaitu kenikmatan hidup bersama-sama. Kita juga perlu menginsafi diri sebagai hamba Allah yang perlu menjalankan amanah memimpin anak-anak dan keluarga ke arah yang diredhaiNya.

 

Oleh

Siti Nurfarhana Puat

Wartawan Biro Wanita

ISMA Seberang Perai Utara