NAZIM Tanjung Ajak Kenal Erti Hijrah


SUNGAI NIBONG, 12 Muharram 1439H, Selasa – Kelab NAZIM (Kelab Anak-anak Hebat) Tanjung tampil sekali lagi mengadakan program NAZIM iaitu Hijrah Aulad bersempena ketibaan tahun baru hijriah yang ke-1439 di Surau Flat Sri Anggun, Sungai Nibong pada Ahad yang lalu.

Penyertaan sangat baik diterima dari kalangan penduduk setempat. Program yang disertai seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun ini, bermula seawal jam 8:30 pagi dan berakhir pada jam 12:00 tengah hari.

Menurut Pengarah Program, Puan Norain Ab Manan, program ini bertujuan mendidik dan menyemai erti penghijrahan Rasulullah dalam kehidupan seharian. Hijrah Aulad mengajak para peserta menyemarakkan rasa cinta dan seronok menyambut Tahun Baru Islam. Seterusnya, dapat mengenali bulan-bulan Islam.

“Seperti kebiasaannya, para peserta dilatih menunaikan solat sunat Dhuha secara berjemaah dan selepas itu mereka disajikan dengan tazkirah mengenai hijrah. Sejurus itu, barulah mereka menghafal hadis pendek berkaitan hijrah. Lebih menarik, kali ini kita mengadakan perarakan selawat dan eksplorasi sekitar taman,” katanya.

Salah seorang waris peserta, Puan Suzana Alamin berkata, beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan dan beliau akan mengajak lebih ramai lagi saudara dan kenalan.

Tambah Nur Alya Farhana bt Hasbullah, peserta NAZIM, “Saya seronok dengan aktiviti yang dijalankan. Saya berminat nak sertai lagi pada masa akan datang”

Oleh Siti Nurfarhana Ahmad Puat
AJK Kelab NAZIM Tanjung