NAZIM Bertam Meneladani Kisah Nabi Yunus

KEPALA BATAS, 2 Safar 1439H, Ahad – Sinonim dalam mendidik anak-anak dengan nilai dan akhlak Islami,  Kelab Anak Hebat NAZIM Bertam tampil menganjurkan program bertemakan kisah Nabi Yunus a.s bulan ini. Hampir 27 orang peserta berumur tujuh hingga 12 tahun menyertai program bertempat di Surau Al-Furqan, Taman Sri Indah yang bermula seawal jam 8:30 dan berakhir pada jam 12:00 tengahari ini.

Menurut Pengarah Program, Nur Wahida Zulkifli, khas Oktober ini, NAZIM meneladani kisah taubat Nabi Yunus kepada Allah swt dan mendidik anak-anak untuk mengaplikasikan akhlak yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Bahkan, mereka ditekankan kepentingan memahami kisah Nabi Yunus dan menghayati erti taubat.

Saudari Norshuhada Sha’ari,  dalam tazkirahnya menceritakan, Nabi Yunus a.s. menyeru penduduk Niwana menyembah Allah dan menjauhi berhala. Mereka tetap berdegil dan tidak mengendahkan seruan Baginda menyebabkan Baginda marah dan berdoa  agar Allah menghukum mereka sewajarnya. Sejurus itu, Baginda pergi membawa diri dan menaiki sebuah kapal. Dalam pelayaran, kapal tersebut berhadapan dengan ribut taufan lalu, kapten memutuskan barang-barang  perlu dikurangkan termasuk penumpangnya. Ditakdirkan atas undian, Baginda dibuang ke laut.

Dengan izin Allah, seekor ikan Nun menelan Baginda hidup-hidup tanpa mencacatkan Baginda sedikitpun. Dalam perut ikan tersebut, Baginda sedar akan kesilapannya meninggalkan penduduk Niwana, maka baginda berterusan memohon keampunan dari Allah. Allah swt memperkenankan doa Baginda, mengeluarkannya dari perut ikan dan kembali berdakwah kepada penduduk Niwana.

“Semua orang melakukan dosa dan kesilapan. Apabila kita melakukan kesalahan perlulah minta maaf dan keampunan. Dosa ni tak tertakluk pada yang besar sahaja. Bahkan kalau ibu bapa minta tolong, dan kita enggan itupun satu dosa juga. Jadi, kena minta maaf”, ujarnya. Beliau juga berpesan kepada para peserta untuk melazimi doa Nabi Yunus yang dipelajari selepas menunaikan solat.

Puan Lina, salah seorang waris peserta berkata, anak-anaknya sangat seronok. Mereka boleh menceritakan semula input yang diperolehi sepanjang program. Beliau menyatakan sokongan bagi setiap program NAZIM memandangkan program sebegini masih kurang didapati di kawasan utara tanah air. Sebagai penambahbaikan, beliau mencadangkan penceritaan dan persembahan dipelbagaikan dengan menggunakan blok-blok kraftangan dan juga lukisan.

 

Oleh
Nur Husnuzzan bt Azizan
Wartawan Kelab Anak Hebat
NAZIM Seberang Perai Utara