Naib Yang Dipertua ISMA Seberang Perai Utara Terima Anugerah Guru Al Hafiz

KEPALA BATAS, 8 Safar 1439H, Ahad- Naib Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA), Seberang Perai Utara Ustaz Mohd Yusoff Abd Mutalib dipilih sebagai penerima Guru Al Hafiz Peringkat Negeri Pulau Pinang sempena Majlis Ijtimak Huffaz peringkat Negeri semalam.

Ustaz Mohd Yusoff ketika dihubungi berkata, beliau mengakui masih terkejut dan bersyukur ke hadrat Allah SWT atas anugerah yang beliau terima itu. Beliau merupakan guru di Madrasah Manabiul Ulum, Penanti di samping berkhidmat sebagai imam, khatib serta memberi kuliah di surau dan masjid sekitar Pulau Pinang.

“Jazakumullah kepada walid dan Al-marhumah ummi, kerana merekalah insan yang memberikan didikan agama dan Al-Quran, di samping berkat para Asatizah, para Murabbi dan seluruh keluarga dan sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan serta memberi dorongan dan sokongan dalam mengembangkan ilmu Al-Quran ini

“Penghargaan juga buat isteri tercinta Suryani Ahmad kerana banyak membantu serta memberi semangat untuk saya terus berkhidmat kepada agama ini,” katanya.

Sabda Nabi SAW : ” إن الله تعالى يرفع بهذا الكتاب أقواما ويضع به آخرين ” Sesungguhnya Allah Taala akan mengangkat darjat sesuatu kaum itu dengan Al-Quran ini dan akan merendahkan darjat mereka dengan Al-Quran juga. Hadis ini menjelaskan tentang kepentingan Al-Quran dalam kehidupan seharian. Al-Quran adalah Mukjizat, panduan hidup, penawar hati dan pemberi syafaat.

Dalam majlis itu, para huffaz seluruh negeri Pulau Pinang diraikan dan sebanyak 5 kategori Anugerah diberikan iaitu:

  1. Anugerah tokoh Al-Hafiz Termuda.
  2. Anugerah Keluarga Al-Hafiz.
  3. Anugerah Guru Al-Hafiz.
  4. Anugerah Maahad Tahfiz contoh.
  5. Anugerah Tokoh Al-Hafiz ( kemuncak )

 

Oleh

Latifah Hashim

Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia

ISMA Seberang Perai Utara