Mutiara Kata Festival Beliawanis Nasional (FBN) 2017

Festival Beliawanis Nasional kali ini membawa kelainan dan lebih bertenaga apabila dimulakan dengan aktiviti senamrobik. Forum “Sihat Anggun, Pilihan Beliawanis” yang melibatkan panelis profesional pula mengingatkan peserta FBN 2017 untuk menjauhi perkara yang boleh memudaratkan kesihatan diri, sentiasa berusaha dan berdisiplin dalam menjaga kesihatan untuk kekal aktif. Diet mengikut piramid makanan merupakan asas kepada pemakanan yang sihat dan seimbang. Pada masa yang sama, peserta diingatkan agar tidak meninggalkan aktiviti di luar rumah iaitu melakukan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu supaya kekal aktif dan melancarkan sistem perkumuhan.

Para wanita juga dinasihati supaya lebih berhati-hati dalam memilih produk kecantikan, kerana terdapat banyak produk kecantikan yang tidak memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia. Dalam usaha untuk kekal sihat dan cantik, perkara yang perlu dititikberatkan adalah unsur halal dan haram, serta tidak berniat mengubah ciptaan Allah. Yang pentingnya adalah mematuhi syariat Islam. Jangan kerana taksub kepada kecantikan, seseorang itu mendekati perkara yang mendatangkan mudarat kepada diri mereka.

Turut diadakan pertandingan Jejak Intelek, Gema Beliawanis (Pertandingan Nasyid) dan teater Ibu Partiwi. Pelajar USM Pulau Pinang, Nurul Lynn meluahkan rasa syukur kerana  dia dipilih Allah untuk menjadi salah seorang peserta FBN tahun ini. “Saya dapat tahu program sehebat ini semuanya dianjurkan oleh golongan beliawanis sahaja. Saya sangat kagum dengan mereka dan semangat ukhuwah yang ditunjukkan bila berjumpa beliawanis dari seluruh negara”, tambahnya.

FBN 2017 kali ini dirasmikan oleh Ustazah Dr. Norsaleha bt Mohd Salleh, Ketua Wanita ISMA. Ustazah Dr. Norsaleha memberi amanah kepada para beliawanis agar sentiasa mencari ilmu tambahan dalam kehidupan. Wanita merupakan hati kepada masyarakat, seandainya wanita baik, maka baiklah masyarakat keseluruhannya. Namun, andai sebaliknya, maka buruklah masyarakat itu.

Ustazah Norsaleha juga mengingatkan supaya hadirat tidak menjadi seperti sebiji batu di dalam tin yang kosong, apabila tin tersebut digoncang mengeluarkan bunyi yang kuat tetapi isi tin hanyalah kosong. Beliawanis perlu memenuhi ilmu dalam dada termasuklah ilmu tauhid, ilmu al-Quran, ilmu akidah, ilmu rumahtangga, ilmu bermuamalat dan mesti sentiasa berusaha menjadi wanita solehah. Hal ini disebabkan wanita hari ini adalah cerminan kepada kelahiran generasi akan datang. Jika baik dan solehahnya wanita, maka generasi yang dilahirkan mereka turut bakal menjadi generasi yang musleh.

Selain daripada itu, ucapan Ketua Beliawanis PEMBINA, Khairunnisa Mazlan juga mengingatkan peserta untuk sentiasa berusaha menjadi beliawanis yang taat kepada agama, berilmu pengetahuan luas, menjadi orang yang menyumbang kepada pendidikan masyarakat dan menjalani kehidupan dengan akhlak yang mulia.

Kesimpulan dapatan dari FBN 2017 pada kali ini adalah, beliawanis masa kini perlu penuhi dada dengan ilmu pengetahuan yang pelbagai. Setiap ilmu yang diperolehi perlu dimanfaatkan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Akhir sekali, beliawanis mesti sedar bahawa tanggungjawab dalam melahirkan generasi yang baik pada masa akan datang adalah bermula dengan diri sendiri terlebih dahulu, perlu berusaha menjadi beliawanis terbaik pada masa kini.

 

Oleh

Nurul Suhaida Ibrahim

Ketua Beliawanis Universiti Sains Malaysia