Kemantapan Sahsiah Teras Kecemerlangan Pelajar

KEPALA BATAS, 30 Muharram 1439H, Jumaat – “Kemantapan Sahsiah Teras Kecemerlangan Pelajar” merupakan program julung-julung kalinya telah berjaya dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) Pulau Pinang di Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, baru-baru ini.

Bertujuan memberi motivasi kepada pelajar Tingakatan 5 yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbaki kurang sebulan lagi, KRIM Pulau Pinang berbesar hati menerima undangan pihak sekolah. Justeru, KRIM Pulau Pinang menampilkan pengarahnya sendiri, Mohd Lutfi Itam, sebagai pengisi slot.

Dalam slot berkonsepkan motivasi tazkirah yang bertempat di surau Sekolah Menengah Sains Kepala Batas ini, saudara Lutfi menekankan pentingnya menjaga hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia (Hasbuminallah wa Hasbuminanas). Para pelajar juga ditegaskan tentang keberuntungan golongan orang yang berusaha, diberikan kejayaan lalu ianya bersyukur.

“KRIM Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada Guru Kaunseling iaitu Cikgu Shareff atas undangan yang diberikan. Moga program ini dapat menguatkan lagi semangat para pelajar untuk menempuh peperiksaan SPM yang bakal tiba”, kata Pengarah.

 

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

(ayat 11 surah Ar-Ra’du)

Oleh
Hidayatunnur Hashim
Aktivis Unit Media
KRIM Pulau Pinang