Anakku, Syurgaku: Didiklah anak-anak mengikut acuan Al-Quran

SEBERANG JAYA, 17 Muharram 1439H, Ahad – “Anak-anak perlu dididik dan dibentuk dengan acuan Al-Quran , mengenal Allah sebagai pencipta dan menghiasi diri dengan akhlak mulia” jelas Ustazah Norhayati dalam Usrah Wanita bertajuk ‘Anakku Syurgaku’ di Surau At-taqwa Taman Sembilang, Seberang Jaya, Sabtu lalu.

“ Ibu bapa perlu menyedari bahawa anak-anak adalah kurniaan dari Allah S.W.T. Anak-anak merupakan nikmat dan anugerah yang amat berharga, yang perlu disyukuri dan dijaga sebaiknya agar mereka menjadi hamba Allah yang beriman” jelas ustazah lagi dalam tafsir surah Luqman ayat 12.

Dalam ayat ke-13 pula, Allah S.W.T menceritakan kepada kita kisah Luqman yang mendidik dan menasihati anaknya supaya tetap pada jalan yang benar iaitu Islam dengan penuh hikmah. Ibu bapa dan juga pendidik seharusnya mencontohi tindakan Luqman yang bijak menggunakan bahasa yang tepat dalam mendidik anak-anak dan menekankan larangan mempersekutukan Allah S.W.T dengan sesuatu yang lain.

Jika anak-anak tidak dibentuk berpandukan Al-Quran, maka mereka akan menghadapi pelbagai masalah dan kecelaruan seperti pengambilan dadah, kecelaruan identiti dan berzina. Hal ini merosakkan jati diri anak-anak dan menggagalkan usaha melahirkan invididu muslim yang hebat.

 

“Ajar anak-anak agar meninggalkan sesuatu keburukan untuk melakukan kebaikan, mengetahui perkara yang dibenarkan dan dilarang dalam Islam, serta bersyukur atas nikmat Allah dan tidak sekali-kali mempersekutukanNya” ujar ustazah di akhir pengisian.

 

Oleh:

Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita
ISMA Seberang Perai Utara