Ustaz Syazwan terima Anugerah Saudara Mithali Maal Hijrah Pulau Pinang

Pulau Pinang, 1 Muharram 1439H, Jumaat – Ustaz Muhammad Syazwan Menon, bekas penganut agama Hindu yang juga ahli ISMA Seberang Perai Utara dipilih sebagai penerima Anugerah Saudara Mithali sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M Peringkat Negeri Pulau Pinang di Masjid Negeri.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM3000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Ustaz Syazwan yang berkelulusan dari Mesir dan Sarjana Muda Usuluddin di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) banyak terbabit dalam kegiatan dakwah dan kemasyarakatan.

Tambah Ustaz Syazwan, kejayaan memenangi Anugerah tersebut menjadi pembakar semangat untuk bergiat aktif dalam kegiatan dakwah.

“Penganugerahan ini juga diharapkan menjadi titik tolak untuk membimbing masyarakat ke arah kehidupan cemerlang dunia dan akhirat di samping tidak mengabaikan pengajian di peringkat Sarjana,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Syazwan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu terutamanya keluarga, ikhwah akhawat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Qaryah Masjid at-Taqwa Bertam Indah, dan sahabat handai.

Majlis turut dihadiri oleh kedua-dua ibu bapa, Encik Menon a/l Raman, Puan Letchemy a/p Poony Nair, isteri, Puan Norshuhada Shaari serta anak-anaknya.

Oleh Azidatul Anis Aziz
Biro Penerangan cawangan
ISMA Seberang Perai Utara