Mengumpat amalan keji, suatu penyakit !

SEBERANG JAYA, 26 Zulhijjah 1438H, Sabtu – “Mengumpat adalah mengatakan sesuatu yang betul mengenai seseorang , tetapi perkara tersebut tidak disukai oleh empunya diri,” jelas Ustazah Norhayati Abdul Wahab semasa mengupas tafsir Surah al-Hujurat ayat ke-12 dalam siri Usrah Wanita semalam.

Melalui perkongsian di Surau At-Taqwa, Taman Sembilang ini, Ustazah menyatakan bahawa orang Islam yang mengumpat saudaranya diibaratkan oleh Allah s.w.t seperti memakan daging saudaranya yang sudah mati dan perbuatan itu dikutuk dan dikeji dalam Islam.

Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj pula, Allah menunjukkan balasan orang yang menodai kehormatan sahabat atau mengumpat sahabatnya. Golongan ini dilihat mencakar-cakar muka sendiri dengan kuku panjang yang dibuat daripada tembaga.
Saidina Umar r.a pernah berpesan, “Berzikirlah kepada Allah Taala kerana zikir itu merupakan ubat, dan jauhilah perbuatan mengumpat orang lain kerana mengumpat merupakan penyakit”.

Islam membenarkan seseorang bercerita tentang keburukan orang dalam beberapa situasi. Pertama, boleh mengumpat orang fasik supaya tidak terpengaruh dengan keburukan itu. Kedua, tujuan untuk meminta fatwa seperti kisah Hindun bertanya kepada Rasulullah berkenaan suaminya, Abu Sufyan yang kedekut, sekiranya dia boleh mengambil nafkah sekadar keperluan secara senyap.

Ketiga, apabila seseorang meminta nasihat; seperti seseorang yang dipinang perlu mengetahui tentang sifat buruk pasangannya. Keempat adalah bagi periwayat hadis, sebagai penilaian sanad hadis tersebut.

“Sibukkan diri dengan sentiasa muhasabah terhadap kesalahan diri kita, bukan sibuk mencari kesalahan orang lain,” ujar Ustazah Norhayati, menutup siri Usrah Wanita, Sabtu lalu.

Oleh:Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita,
ISMA Seberang Perai Utara.