Hijrah Aulad NAZIM Kulim: Belajar Memaknai Hijrah

 

KULIM, 3 Muharram 1439H, Sabtu – Bersempena kehadiran Tahun Baru Islam 1439H, Kelab NAZIM  (Kelab Anak-anak Hebat) Kulim tampil menjayakan ‘Hijrah Aulad’ bertempat di Surau Asy-Syakirin Kulim Utama 1,Taman Berteknologi Tinggi  Kulim pada Jumaat, 22 September yang lalu. Penyertaan menggalakkan oleh penduduk setempat ini terdiri daripada 35 orang kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun. Program ini bermula seawal jam 8:30 pagi, seterusnya berakhir jam 12:30 tengahari.

Menurut Pengarah ‘Hijrah Aulad’, Nur Husnuzzan Azizan, program ini bertujuan mendidik dan menyemai erti penghijrahan Rasulullah dalam kehidupan seharian. Di samping itu, NAZIM turut mengajak para peserta menyemarakkan rasa cinta dan seronok menyambut Tahun Baru Islam sekaligus memberi peluang anak-anak ini untuk mengenali bulan-bulan Islam.

“Uniknya program kali ini, peserta berarak beramai-ramai sekitar taman sambil berselawat. Kemudian, para peserta dilatih menunaikan solat sunat Dhuha secara berjemaah disajikan dengan tazkirah mengenai hijrah. Sejurus itu, barulah mereka menghafal hadis pendek berkaitan hijrah,” katanya.

Para peserta juga belajar tentang bulan-bulan Islam dengan cara membuat ulat dan menulisnya mengikut susunan yang betul. Salah seorang waris peserta, Puan Nur Shuhada Azizul berkata, beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak NAZIM Kulim kerana sudi mendidik anak-anak ini belajar mencintai Islam dalam dunia yang kian mencabar kini.

Rata-rata respon yang diterima daripada para waris amat memberangsangkan. Mereka sangat berpuas hati dengan program bermanfaat seperti yang dijalankan NAZIM ini.  Kebanyakannya berhajat menghantar anak-anak mereka lagi dalam program-program akan datang.

 

NAZIM, Kelab Anak-anak Hebat !!

 

Oleh
Nur Husnuzzan bt Azizan
Wartawan Kelab NAZIM Kulim