Sambutan Kemerdekaan Si Cilik bersama NAZIM Pulau Pinang


KEPALA BATAS, 27 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Bulan Ogos sangat sinonim dengan bulan kemerdekaan bagi rakyat Malaysia. Lihat sahaja di pasaraya, premis kedai, pejabat mahupun di institusi pengajian, sudah pastinya segenap ruang dihiasi bendera Malaysia. Ini menggambarkan betapa pentingnya nilai kemerdekaan kepada warga Malaysia.

Bagi menghayati erti kemerdekaan sebenar mengikut Islam dan melahirkan rasa patriotik dalam diri generasi muda seawal usia kanak-kanak, NAZIM Pulau Pinang telah menganjurkan program ‘Merdeka Si Cilik’ di Surau Taman Sri Indah, Kepala Batas pada 19 Ogos yang lalu. Bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari, aktiviti ini seramai 19 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak di kawasan setempat berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Menurut Pengarah Program, Nur Wahida Binti Zulkifli, beliau mengharapkan program ini dapat memberi kesan positif kepada adik-adik. Di samping itu, beliau juga mengharapkan hafazan yang telah dihafal dapat dipraktikkan dalam solat dan dalam kehidupan seharian.

Hari Sabtu tersebut memang padat dengan pelbagai aktiviti menarik. Sebagai contoh, solat dhuha berjemaah, nyanyian lagu tema ‘Adakah Kau Lupa’, nasyid Asmaul Husna, sesi hafalan dan tasmik surah al-Insyirah. Para peserta juga seronok mendengar tazkirah mengenai sejarah kemerdekaan Malaysia dan bagaimana memerdekaan jiwa dari sifat-sifat jahiliah yang disampaikan oleh Ustaz Syazwan. Turut diadakan juga aktiviti mewarna topeng kemerdekaan dan nyanyian lagu patriotik ‘Jalur Gemilang’.

Oleh
Fatin Athirah Binti Abdul Aziz
Wartawan Kelab NAZIM SPU