Perbaharui Semangat Berkorban

SEBERANG JAYA, 27 Zulkaedah 1438H, Sabtu – “Mukmin yang sebenar membuktikan keimanan kepada Allah S.W.T dengan berjihad di jalanNya dengan harta dan jiwa mereka”, ujar Ustazah Norhayati Abdul Wahab dalam siri Usrah Wanita bertajuk ‘Wanita dan Pengorbanan’ di Surau At-Taqwa, Taman Sembilang, Seberang Jaya baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, pengorbanan yang dilakukan seorang mukmin mestilah bertujuan hanya untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Betapa indahnya agama Islam, bila mana setiap ibadah yang dikerjakan dan diniatkan kerana Allah, tetapi kebaikanannya berbalik kembali kepada manusia itu sendiri.

Kisah agung pengorbanan isteri Nabi SAW, Siti Khadijah R.A wajar diteladani golongan wanita hari ini. Khadijah R.A berasal dari golongan bangsawan dan merupakan seorang hartawan pada zaman itu. Beliau sanggup mengorbankan hartanya yang sebanyak 2/3 daripada harta di Mekah ketika itu, demi perjuangan Islam sekaligus meletakkan kemuliaan dirinya hanya di sisi Allah SWT.

Menjelang Hari Raya Qurban ini, tidak dilupa juga kisah pengorbanan Siti Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim. Walaupun bersama anak yang masih kecil, kerana ketaatannya kepada perintah Allah SWT, beliau rela ditinggalkan di tanah gersang yang tiada hidupan lain ketika itu.

Apabila Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS, Siti Hajar menerima dengan yakin bahawa Allah tidak akan mensia-siakan ketaatan mereka. Atas didikan beliau, anaknya, Ismail AS juga tunduk patuh akan suruhan Allah tersebut.

Setiap wanita perlu menghayati kehebatan dan pengorbanan tokoh-tokoh wanita Islam zaman dahulu dalam memperjuangkan Islam seperti Siti Khadijah, Siti Hajar, Sumayyah , Zinnirah, Masyitah dan lain-lain. Marilah sentiasa memperbaharui semangat ingin berkorban dalam membina keluarga dan anak-anak yang berilmu dan taat kepada suruhan agama Islam.

Oleh
Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita,
ISMA Seberang Perai Utara.