Merdeka Si Cilik Semai Erti Kemerdekaan

KULIM, 5 Zulhijjah 1438H, Ahad – Sempena cuti sekolah dan hari kemerdekaan yang bakal diraikan kurang seminggu lagi, Kelab NAZIM (Kelab Anak-anak Hebat) Kulim tampil menjayakan Program Merdeka Si Cilik bertempat di Surau Al-Ittihad Kulim Perdana,Taman Berteknologi Tinggi Kulim pada Jumaat, 25 Ogos yang lalu. Penyertaan memberangsangkan sehingga 35 orang peserta ini melibatkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun dari kawasan setempat. Program bermula seawal jam 8:30 pagi dan diakhiri jam 12:30 tengahari.

Menurut Pengarah Program, Wafa Elyani Abdul Rahim, program ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam diri anak-anak NAZIM. ‘Merdeka Si Cilik’ bukan sahaja mengajak para peserta mendalami erti kemerdekaan sebenar, malah mengajar mereka mendeklamasikan sajak kemerdekaan.

“Seperti program NAZIM sebelum ini, peserta dilatih menunaikan solat sunat Dhuha secara berjemaah sebelum memulakan aktiviti. Seterusnya, mereka perlu menghafal sural Al-Insyirah. Selepas itu, mereka diajar membuat topeng merdeka dan mendeklamasikan sajak kemerdekaan,” katanya.

Salah seorang waris peserta, Puan Syaqwannah Abdul Sukri berkata, anak beliau sangat seronok dengan aktiviti sepanjang program berlangsung. Tambahnya lagi, beliau berharap aktiviti-aktiviti berfaedah sebegini akan diadakan lagi pada masa akan datang.

Rata-rata respon yang diterima daripada para waris amat memberangsangkan. Mereka sangat berpuas hati dengan program NAZIM dan berhajat ingin menghantar anak-anak mereka lagi di masa akan datang.

Oleh
Nur Husnuzzan bt Azizan
Wartawan Kelab NAZIM Kulim