Doktor untuk ummah !

GEORGETOWN, 15 Syawal 1438H – Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada tiga orang aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU) atas kejayaan graduasi mereka di Penang Medical College (PMC), Ahad lalu.

Mereka bertiga; Dr. Siti Nursyuhada Bujang, Dr. Nur Sakinah Muhammad Faizal Selvaraj dan Dr. Aina Nurina Aman Sarifudin telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Ijazah Sarjana Muda Pembedahan dan Ijazah Sarjana Muda Obstetrik atau Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery and Bachelor of Obstetrics (MB BCh BAO) bersama-sama 136 graduan lain.

Dr. Aina berkata, beliau bersyukur atas segala nikmat yang dengan izin Allah, akhirnya beliau dan sahabat berjaya menghabiskan pengajian. Walaupun jalan yang ditempuh terasa panjang, penuh ujian dan kadangkala terasa ingin mengalah, namun Allah memudahkan segala urusannya.

“Saya mengamalkan belajar dan usaha secara berterusan, banyakkan doa, tawakkal dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dalam semua situasi. Saya sangat berharap ilmu dan kejayaan yang diberikan ini diberkati Allah dan dapat memanfaatkannya untuk kemaslahatan ummah”, tambahnya.

Ketiga-tiga doktor ini bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti dan program anjuran i-Medik dan ISMA, khsususnya di kawasan Pulau Pinang. Bukan setakat cemerlang dalam bidang akademik, malahan mereka mampu memberikan yang terbaik dalam urusan kemasyarakatan, dakwah dan tarbiyyah.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada ISMA SPU yang sentiasa sabar menyokong dan mendoakan kejayaan kami. Semoga kejayaan hari ini menjadi titik tolak untuk kejayaan yang lebih besar dalam usaha menjadi insan berguna buat ummah”, kata Dr. Sakinah.

Pihak ISMA SPU mendoakan agar ketiga-tiga permata ummah ini terus kekal dan tsabat dalam perjuangan di atas jalan-Nya selepas pulang ke kawasan masing-masing. Semoga mereka dimudahkan urusan apabila melangkah ke alam pekerjaan. Diharapkan pengiktirafan doktor ini menjadi satu platform untuk terus memacu amal serta mencorak ummah tidak kira di mana sahaja mereka berada pada masa hadapan.

Teruslah bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Oleh
Noradawiyah Nordin
Aktivis ISMA SPU