Pengalaman Berharga Remaja Santuni Pesakit di Hospital Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM, 22 Ramadhan 1438H, Sabtu- Kelab Remaja Isma ( KRIM) Pulau Pinang telah  menganjurkan program Ramadhan Outreach dengan kerjasama NGO Yayasan Ikhlas dan i-Medik di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Seramai 16 orang pelajar daripada 2 buah sekolah iaitu MRSM Balik Pulau dan Sekolah Panglima Besar Kulim, telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada 17 pesakit kanak-kanak bersempena kemuncak program Ramadhan Outreach kali ini.

Ramadhan Outreach adalah sebuah gelombang aktiviti untuk menonjolkan imej-imej positif remaja dengan mengunjungi dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Program bermula dengan kata aluan daripada Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara, Ustaz Abdul Rahim Sudin. Ujarnya, syukur hari ini kita dapat melihat sendiri keadaan di hospital. Pertama sekali, kita cuba membawa adik-adik supaya boleh merasai keadaan pesakit di bulan puasa.

Pengarah KRIM Pulau Pinang, Mohd Lutfi Itam berkata, kita bukan hanya datang duduk melihat, tetapi kita ada tujuan lagi besar dari itu. Cuba hayati segala apa yang kita buat hari ini dan kalau boleh, adik-adik berinteraksilah dengan ibu bapa pesakit dan selami perasaan mereka.

Sementara itu, Dr. Fakhruddin Puaad wakil dari i-Medik dan Dr. Zaki Ibrahim wakil dari Yayasan Ikhlas dan i-Medik turut bersama mengiringi peserta memberi sumbangan.

Dr. Zaki Ibrahim dalam ucapannya berkata, menolong adalah satu nikmat, satu anugerah yang Allah SWT bagi pada kita untuk memberi. Kita perlu ada satu jiwa iaitu jiwa yang memberi kepada agama.

” Hari ini kita mengalami satu pengalaman yang mampu membina jati diri kita untuk menjadi generasi yang hebat,” ujarnya.

Seorang peserta, Muhd Irfan Zikry, 16 berkata, saya berpeluang melihat orang sakit serta memberi bantuan pada mereka. Saya juga dapat berkomunikasi dengan mereka serta belajar betapa pentingnya golongan remaja untuk negara.

Sementara itu, Mohd Amirullah, 16 berkata, saya rasa bertuah sebab dapat bertemu pesakit di hospital. Di sini saya dapat melihat seorang budak yang sangat merindui keluarganya. Ini telah mengingatkan saya akan keluarga saya.

” Saya rasa gembira kerana dapat menolong mereka yang susah dan melihat mereka gembira setelah mendapat hadiah yang diberikan,” tambahnya.

Setelah selesai sesi menyampaikan sumbangan, KRIM turut mengadakan aktiviti bersama peserta iaitu sesi ice breaking dan ‘game’ menguji minda. Program bermula dari pada pukul 3.00 petang dan berakhir pada pukul 5.00 petang.

Oleh:
Hidayatunnur Hashim
Aktivis KRIM Pulau Pinang