Nikmat 19 jam berpuasa

Berbuka puasa bersama ikhwah

 

Biodata
Nama: Muhammad Hafidz Romli
Asal: Alor Setar, Kedah
Pengajian: Tahun Pertama, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, University of Sheffield
Tempat tinggal: Sheffield, United Kingdom

Berpuasa di perantauan mempunyai cabaran dan mungkin merupakan sesuatu yang mengujakan bagi mereka yang tidak pernah melaluinya kerana faktor berjauhan daripada keluarga dan suasana Ramadan di Malaysia. Kelainan berpuasa di luar negara berbeza dari segi tempoh masa puasa yang panjang yang kini berada dalam musim panas serta saiz komuniti Islam yang kecil.

Pelajar Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Muhammad Hafidz Romli berkongsi pengalaman pertama kali berpuasa di Sheffield, United Kingdom.

Hikmah berpuasa

Sejak beberapa tahun kebelakangan, bulan Ramadan jatuh pada musim panas yang melihatkan waktu siang lebih panjang di hemisfera utara dan menyaksikan cuaca panas di beberapa negara. Sebaliknya di hemisfera selatan, waktu berpuasa le¬bih singkat dan jatuh pada musim sejuk. Pada tahun lalu, tempoh waktu berpuasa paling panjang di seluruh dunia ialah antara 11 jam sehingga 22 jam.

Menurut Muhammad Hafidz, sewaktu musim panas di Sheffield, tempoh berpuasa itu agak panjang iaitu selama 19 jam dan menganggap ia sebagai satu cabaran kerana waktu berbuka dan sahur yang amat pendek.

“Puasa pada kali agak mencabar kerana kami berpuasa pada musim panas, oleh itu kami berpuasa selama 19 jam. Tambahan pula, bulan ini juga merupakan bulan peperiksaan. Namun segala kesusahan ini membuatkan puasa pertama kali di negara orang lain ini lebih bermakna kerana ia mengajar kami untuk lebih bersabar,’

“Namun, ini tidak bermaksud berpuasa di sini tiada cabarannya, suasana ramadan yang dirasai di Malaysia kurang terasa di sini(mungkin kerana bukan negara Islam). Ditambah pula dengan jarak antara selepas tarawih dan subuh sangat dekat (dalam 3 jam) menyebabkan kebannyakan pelajar tidak akan tidur sehingga subuh. Berpuasa selama 19 jam di sini pasti mencabar mental kami apatah lagi dengan perlunya fokus pada peperiksaan,”

“Alhamdulillah, di Sheffield ini masih ada masjid yang berdekatan untuk kami melakukan solat tarawih. Masjid ini didirikan oleh komuniti Somalia di sini dan apa yang membuatkan saya kagum ialah kebanyakan imam tarawih di sini ialah pemuda Somalia yang saya rasakan merupakan seorang huffaz,” katanya.
Jadi, Muhammad Hafidz bersyukur kerana Allah memberi nikmat Ramadan yang memang berbeza dengan apa yang pernah dirasainya sebelum ini.

Pilihan berbuka

Cabaran yang lain di sini, suasana Ramadan tidak semeriah di Malaysia kerana komuniti di kawasan perlu memasak sendiri setiap hari untuk juadah berbuka puasa kerana di sini tiada Bazar Ramadan.

“Pilihan berbuka kami sudah pasti tidak sama dengan Malaysia yang mempunyai Bazar. Oleh itu, kebiasaannya kami akan menyediakan juadah sendiri kerana untuk membeli makan setiap hari agak mahal. Tambahan lagi, ahli rumah saya sangat beruntung kerana seorang ahli rumah kami selesai peperiksaan awal (hari pertama puasa) dan dialah yang memasak untuk kami selama kami menjalani minggu peperiksaan,” katanya.

Kenangan berbuka

Sementara itu, walaupun seharian sibuk dengan mengulang kaji pelajaran dan menduduki peperiksaan, waktu berbuka puasa pastinya menjadi ruang buat Muhammad Hafidz dan rakan-rakan berkumpul.

“Saya akan mengambil kesempatan untuk berbuka sama ada di rumah atau di kedai bersama-sama rakan-rakan,” katanya.

Bahkan, Ramadan kali ini juga memberi kenangan yang cukup manis buat Muhammad Hafidz kerana mendapat kejutan hari jadi yang dilakukan oleh rakan-rakan selesai solat tarawih.

“Puasa pada tahun ini menarik kerana hari pertama berpuasa juga merupakan hari kelahiran saya. Selepas kami bertarawih, saya dikejutkan dengan kek sebagai moreh. Ini pasti akan menjadi kenangan yang manis,” ujarnya.

Al-Quran terapi terbaik

Bagi meraih keberkatan Ramadan yang penuh kemuliaan, Muhammad Hafidz akan bersama-sama rakan-rakan untuk meluangkan masa membaca al-Quran dan melibatkan program yang dianjurkan oleh ISMA di sana.

“Kami akan bergilir-gilir untuk menghabiskan tadarus satu juzuk dari rumah ke rumah yang terpilih,”

“Program Rehlah Masyi dan iktikaf turut dijalankan bagi mendapat keberkatan dan rahmat bulan Ramadan,” tambahnya.

Rehlah masyi

Oleh Azidatul Anis Aziz
Biro Komunikasi dan Multimedia
Isma Seberang Perai Utara