Kecapi nikmat Ramadan

Iftar bersama rakan-rakan dan komuniti setempat di Tokai Musolla

Biodata
Nama: Noor Fatin Omar
Asal: Kedah
Pengajian: Tahun dua PHD, Sains Biologi, Tokyo Institute of Technology
Tempat tinggal Kawasaki, Jepun

Pengalaman berpuasa di perantauan terutama bagi orang bujang yang terpaksa mengurus sendiri juadah berbuka dan sahur apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga mengajar erti kehidupan kepada pelajar tahun dua, calon Doktor Falsafah (Ph.d), Noor Fatin Omar.

Ramadan tahun ini merupakan tahun keempat Noor Fatin menjalani ibadah puasa di bumi matahari terbit dan tidak melepaskan peluang menikmati bulan penuh keberkatan untuk mendidik jiwa, melatih peribadi, jasmani, rohani serta menjana iman dan takwa.

“Tahun pertama berpuasa di Jepun merupakan satu cabaran baru untuk saya dan tetap menjadi cabaran untuk tahun-tahun ke hadapan kerana bulan puasa selalunya jatuh pada musim panas. Pada musim panas di Jepun, siang lebih panjang berbanding malam. Waktu subuh masuk sekitar jam 2.30 pagi dan maghrib sekitar 7.00 petang. Jadi rata-rata muslim di sini berpuasa selama hampir 16 jam – 17 jam, di samping cuaca yang agak panas,”

“Cabaran terbesar ialah untuk merebut pahala tahajud dan sahur di bulan Ramadan yang mulia ini. Disebabkan subuh yang agak awal dan isyak yang agak lewat sekitar 8.35 malam, pada dua tahun terawal saya berpuasa di sini, saya memilih untuk stay up selepas tarawih sehingga subuh disebabkan dikhuatiri tidak dapat bangun sahur dan subuh. Terdapat beberapa kali juga saya terkandas sahur dan subuh. Namun, dengan bantuan rakan-rakan serta praktis untuk reset life cycle sebelum tiba bulan Ramadan membolehkan saya mengecapi nikmat tahajud dan sahur di sini. Perancangan waktu yang baik dan keazaman yang cekal untuk mencapai target Ramadan yang ditetapkan serta mempunyai bi’ah solehah di samping doa untuk diberikan kekuatan untuk menikmati ibadah Ramadan merupakan kunci untuk saya menjalani ibadah puasa di sini,” katanya.

Keistimewaan sendiri

Kemeriahan Ramadan di Malaysia yang dipenuhi bazar Ramadan dan persediaan menyambut hari raya jauh berbeza di Jepun yang mengamalkan sikap sederhana.

“Kalau di Malaysia, kita disibukkan dengan bazar Ramadan mahu pun persediaan berbuka bersama kawan-kawan mahupun keluarga, namun di sini perkara ini kurang terjadi. Makanan berbuka ringkas dan dapat kurangkan pembaziran,” katanya.

Meskipun jauh daripada suasana Ramadan di Malaysia kerana majoriti penduduk di sini ialah non-muslim namun ia memberi peluang untuk mencipta suasana Ramadan sendiri di dalam rumah.

“Kesempatan berpuasa di perantauan memberi manfaat kepada saya kerana dapat berjumpa dan bergaul dengan muslim dari pelbagai negara seperti Bangladesh, Kazakhstan, Indonesia mahupun Jepun sendiri (dan lain-lain) ketika iftar dan tarawih di masjid.

“Selain itu, pertemuan ini akan mengurangkan kerinduan kepada keluarga yang begitu kuat dirasakan pada awal Ramadan,” ujarnya.

Sederhana tetapi meriah

Noor Fatin yang berasal dari Kedah menyatakan bahawa kebiasaannya dia akan memasak atau membeli makanan daripada pelajar muslim Indonesia.

Jelas Noor Fatin, kehidupan komuniti Islam di sini boleh dikatakan agak meriah dan dia berpeluang untuk mengukuhkan ikatan silaturahim sesama muslim.

“Pada hari persekolahan, saya akan berbuka sama ada di rumah atau di sekolah. Berbuka di rumah dengan rakan-rakan rumah. Jikalau tidak sempat berbuka di rumah, saya akan berbuka di sekolah bersama rakan-rakan Indonesia. Pada hujung minggu, akan mengambil peluang ke masjid atau surau untuk iftar bersama komuniti muslim daripada pelbagai negara, memenuhi undangan rakan-rakan untuk iftar bersama di samping mengadakan majlis berbuka di rumah sendiri,”

“Saya bersyukur kerana dapat berbuka bersama dan makan makanan yang disediakan di samping berkongsi-kongsi makanan. Sama seperti berbuka puasa bersama keluarga tercinta di tanah air,” tambahnya.

Dipenuhi dengan program

Menurut Noor Fatin, 20 hari dan sepuluh hari terakhir bulan Ramadan kali ini dipenuhi dengan program Qiamulail dan iftar bersama komuniti muslim, sama ada di masjid atau di rumah rakan-rakan muslim.

Tambah beliau, peluang merebut malam al-Qadr yang lebih baik dari seribu bulan perlu digunakan sebaik mungkin supaya dapat mengecapi nikmat Ramadan yang diberikan oleh Allah SWT.

Oleh Azidatul Anis Aziz
Biro Komunikasi dan Multimedia
Isma Seberang Perai Utara