Erti sebenar Ramadan

Menunaikan solat tarawih di Masjid ar-Rahman ar-Rahim

Biodata
Aufa Ilhamie Abdul Rahim
Asal: Kulim, Kedah
Pengajian: Tahun Pertama, Perubatan, Ain Shams University
Tempat Tinggal: Abbasiyah, Cairo, Mesir

Pertama kali berada jauh daripada keluarga untuk melanjutkan pelajaran dan berpuasa di tempat orang menjadikan Ramadan kali ini penuh bermakna. Pelajar Perubatan, Aufa Ilhamie Abdul Rahim merasakan pengalaman menghidupkan Ramadan di Mesir merupakan satu perkara yang jauh berbeza dengan Malaysia.

Keistimewaan

Berpuasa di Mesir memberi erti sebenar Ramadan dan keistimewaan tersendiri sekali gus menjadikan Ramadan bulan yang paling mulia dan istimewa. Menurutnya, umat Islam di sana menjadikan bulan Ramadan sebagai satu peningkatan iman dan takwa kepada Allah SWT dengan melakukan pelbagai ibadah untuk meraih keberkatan oleh-Nya.

Pastinya di Mesir, kemeriahannya amat terasa dengan ibadah sepanjang masa yang bermula dari waktu iftar sehinggalah ke subuh, bukannya meriah dengan sibuk membeli-belah untuk menyambut hari raya atau meriah dengan lagu-lagu hari raya.

“Alhamdulillah, saya dapat merasakan apa itu “menghidupkan Ramadan” kerana memang berselerak orang membaca al-Quran, contohnya di kedai-kedai. Kalau tidak ada pelanggan, peniaga akan mengisi masa dengan membaca al-Quran,”

“10 malam terakhir Ramadan digunakan sebaik mungkin untuk beriktikaf di masjid bersama-sama pelajar Malaysia yang lain,” katanya.

Selain itu, kesempatan untuk menyambut Ramadan di perantauan juga membolehkan Aufa Ilhamie melihat budaya orang Arab apabila mereka meraikan dengan menghias rumah.

“Di Mesir, bulan Ramadan menjadi kebiasaan untuk memasang lentera, pelita atau Fanous bagi tujuan menghias rumah dengan cahaya,”

“Dapat dilihat juga di kedai-kedai bahkan tremco (kenderaan awam seperti van) memasang alunan al-Quran berbanding lagu raya,” tambahnya.

Selain itu, keistimewaan yang dihadapi Aufa Ilhamie apabila menunaikan ibadah berpuasa di negara asing ialah tempoh masa berpuasa yang panjang.

“Disebabkan sekarang merupakan musim peperiksaan, saya akan mengulang kaji pelajaran pada waktu siang dan malamnya akan menumpukan untuk bertarawih, bertahajud serta bangun semula pada pukul tiga pagi untuk bersahur,”

“Berpuasa dalam jangka yang panjang dengan cuaca yang agak panas merupakan cabaran besar buat pelajar baru di sini,” ujarnya.

Berbuka di rumah

Bagi Aufa Ilhamie yang tinggal dengan rakan serumah, mereka mengambil kesempatan untuk memasak hidangan berbuka. Menurutnya, berbuka beramai-ramai di rumah dapat menghilangkan kerinduan kepada keluarga, di samping dapat bertukar-tukar juadah bersama rakan-rakan yang berkunjung ke rumah.

“Kita akan masak kerana di sini tiada bazar, cuma untungnya kerana ada maidah rahmah iaitu orang yang sedekah makanan,”

“Kadangkala mereka akan beri Nasi Mandy, roti fino, kuftah, kurma dan sebagainya,” katanya lagi.

Program yang bermanfaat

Walaupun Aufa Ilhamie dan rakan-rakan berada di musim peperiksaan, program semasa Ramadan turut dijalankan bagi meraikan bulan Ramadan dengan diselitkan program Tafaqquf.

“Bagi yang tidak tawaqquf (cuti/berhenti) akan menduduki peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan seperti biasa dan bagi yang bertawaqquf peperiksaan, kami akan mengikuti program rumah masing-masing contohnya tazkirah sebelum berbuka dan tadarus al-Quran selepas solat subuh,”

“Jikalau ada gap peperiksaan yang panjang, kami akan solat tarawih bersama-sama dan bersama-sama rakan-rakan lain di Iftar Inter-Muhafazah yang mana melibatkan Muhafazah seperti Tanta, Alex dan Mansuro,”

Dalam pada itu, Aufa Ilhamie berasa bertuah dapat menyambut Syawal yang bakal tiba di perantauan bersama-sama rakan-rakan dan merupakan pengalaman pertama dalam kehidupannya.

Oleh Azidatul Anis Aziz
Biro Komunikasi dan Multimedia
Isma Seberang Perai Utara