Ajar anak seronok berpuasa

Biodata

Nama: Zaiton Din

Asal: Pulau Pinang

Nama suami: Rozaini Othman

Pengajian: Tahun tiga PHD, Kejuruteraan Mekanikal

Tempat tinggal: Bandar Matsuyama, Ehime Prefecture, Jepun

Peluang untuk melanjutkan pengajian yang lebih tinggi ke luar negara disambut baik oleh calon Doktor Falsafah (Ph.d), Kejuruteraan Mekanikal, Encik Rozaini Othman yang telah membawa Ustazah Zaiton Din dan empat orang anak iaitu Ammar, 9, Aleeya, 8, Anas, 6, Awfa, 2, untuk berkelana sehingga ke negara Jepun, meninggalkan jauh beribu-ribu batu keluarga yang berada di Malaysia.

Kehidupan yang dilalui sepanjang empat tahun dan tahun ini merupakan tahun terakhir berada di perantauan yang sempat berpuasa serta menyambut Syawal di bumi Jepun diisi padat dengan pentarbiahan ke atas keluarganya yang telah disusun Encik Rozaini dan Ustazah Zaiton.

Berpuasa di perantauan banyak perbezaan dan cabaran yang perlu dilalui oleh Ustazah Zaiton sekeluarga disebabkan faktor cuaca, berpuasa dalam tempoh yang panjang serta jauh daripada keluarga tercinta.

Bagi sebuah unit keluarga Islam, usaha mendidik anak-anak kecil untuk berpuasa sentiasa didedahkan dari awal lagi. Namun, ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak-anak supaya memahami bahawa amalan berpuasa ini bukan bererti kita perlu berehat sepanjang masa.

Tadarus dan tadabbur al-Quran bersama suami dan anak-anak sebelum ke sekolah Jepun

Cabaran ajar anak berpuasa

Cabaran Ramadan tahun ini yang berjalan serentak dengan persekolahan, di atasi dengan baik  oleh Ustazah Zaiton dan suami supaya anak-anak yang sudah boleh berpuasa menjalani ibadah secara konsisten.

Katanya, cabaran akan ada setiap kali anak-anak berpuasa terutamanya bagi yang baru belajar untuk berpuasa pada tahun tersebut.

“Aktiviti sekolah berjalan seperti biasa iaitu dari 7.30 pagi hingga 3 petang, kadangkala aktiviti berenang luar sekolah, bersukan serta aktiviti luar sekolah seperti berjalan di sekitar bandar yang perlu disertai semasa berpuasa,”

“Semuanya menyebabkan anak-anak berasa letih,” katanya.

Tambahnya, semasa tahun pertama anak-anaknya berpuasa di Jepun, mereka agak sukar untuk menjalani ibadah puasa.

“Anak-anak semua baru pertama kali berpuasa di bumi asing, tidak sempat berpuasa di tanah air kerana masih kecil,”

“Tempoh masa berpuasa iaitu selama 16-17 jam dan puasa di musim panas menjadi cabaran buat anak-anak berpuasa serta tarawih lapan rakaat,” katanya.

Mengimbas kembali ketika tahun pertama Ammar memulakan puasa pada usia 6 tahun, dia berpuasa dengan penuh semangat tanpa sebarang paksaan.

“Cabaran melihat kawan-kawan sekelas semasa waktu rehat menghidang makanan dan makan bersama-sama di dalam kelas, setiap 9 pagi cikgu akan mengedarkan beraneka jus pada musim panas tidak membantutkan puasa Ammar,”

“Ammar meneruskan puasa seperti biasa sambil membuat kerja sekolah atau membaca buku sementara menunggu kawan-kawan selesai makan,”

“Tahun selepasnya, pelajar muslim yang minoriti dalam 10 orang mula diberi perhatian, pihak sekolah menyediakan ruang istirehat dan solat sementara rakan-rakan lain makan,” katanya.

Tambahnya lagi, anak ketiganya, Anas masih dalam proses latihan untuk berpuasa dan Ustazah Zaiton dan suami menggunakan kaedah melewatkan sahur Anas kerana waktu subuh yang awal.

Walaupun pelbagai cabaran yang perlu dihadapi, Ustazah dan suami melihat dari sudut positif supaya cabaran keletihan semasa berpuasa menjadikan anak-anak belajar keperluan kepada usaha keras yang konsisten jika ingin mencapai apa jua kejayaan, termasuklah dalam pelajaran.

Dalam masa itu, bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan, aktiviti bersama dilakukan seperti tadarus, solat berjemaah, tadabbur al-Quran bermula surah an-Nas, membaca, mengadakan kuiz Ramadan,  menonton video kisah-kisah, dan diakhiri dengan berbuka bersama.

Mengendali Usrah Wanita bersama komuniti Muslim

Aktiviti bersama komuniti Muslim

Bagi Ustazah Zaiton, Ramadan di Jepun sentiasa dinanti-nantikan dan menyeronokkan kerana bukan sahaja bulan menambah amal ibadah, bahkan dalam konteks sosial.

“Kami berpeluang untuk berbuka puasa dan tarawih bersama komuniti Muslim dari pelbagai negara seperti Mesir, Sudan, Palestin, Indonesia, dan Jepun bahkan setiap hari akan ada giliran individu yang menyediakan juadah berbuka puasa di Pusat aktiviti muslim iaitu Matsuyama Islamic Cultural Centre (MICC),” katanya.

Selain itu, Ustazah juga mengambil peluang ini mengisi masa senggang yang ada dengan melakukan aktiviti bersama komuniti muslim.

“Aktiviti tadarus al-Quran, solat berjemaah serta halaqah Ramadan yang sempat saya kongsikan berkisar tafsir dan tadabbur al-Quran serta penghayatan Ramadan bersama komuniti wanita negara lain turut dilaksanakan,” ujarnya.

Iftar bersama komuniti Islam dari pelbagai negara

Berbuka bersama

Memasak adalah kemestian bagi Ustazah Zaiton kerana tiada Bazar Ramadan seperti di Malaysia. Kadang-kadang meriah apabila berbuka bersama di Pusat Komuniti Muslim.

“Suasana berpuasa tanpa mengejar persiapan raya yang berlebihan dan tarikan Bazar membantu kami sekeluarga mendidik hati dan menjauhkan keterikatan serta kecenderungan hati kepada dunia,”

“Bahkan, menjadikan fokus penghayatan Ramadan lebih bermakna,” tambahnya.

Persiapan raya

Ketika sebilangan orang memilih untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan meriah, Ustazah Zaiton dan sekeluarga mengamalkan sikap sederhana namun penuh kemeriahan kerana ia merupakan amalan yang mulia menyambut Ramadan mahupun Syawal.

“Persiapan raya sederhana dan ala kadar, meriah dengan silaturahim komuniti muslim setempat dan juadah raya dari pelbagai negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ustazah Zaiton meluahkan rasa syukurnya apabila setiap kali tibanya hari raya kebiasaannya rumahnya akan menjadi tempat berkumpul untuk meraikan lebaran bersama-sama pelajar-pelajar Malaysia.

“Saya akan berusaha menyediakan juadah yang sama seperti di Malaysia untuk dinikmati dengan pelajar-pelajar Malaysia dan komuniti muslim bagi mengurangkan kerinduan kepada keluarga di Malaysia.

 

Oleh Azidatul Anis Aziz
Biro Komunikasi dan Multimedia
Isma Seberang Perai Utara