32 Fakir miskin dan ibu tunggal terima sumbangan Ramadhan


SUNGAI DUA, 23 Ramadhan1438H – Seramai 32 fakir miskin dan ibu tunggal di sekitar Sungai Dua diraikan dan menerima bantuan sumbangan berbentuk barang keperluan dapur semasa program Bakul Ramadhan yang diadakan di Masjid Jamik Haji Abdul Rashid.

Pengarah program, Siti Nurfarhana Ahmad Puat berkata sumbangan kepada penerima terpilih akan mewujudkan hubungan yang baik antara ahli-ahli Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Seberang Perai Utara (SPU) dengan masyarakat.

“Melalui program ini juga, kita dapat menghayati Ramadhan dengan bersama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Pada program itu, Yang di-Pertua (YDP) Isma SPU menyampaikan sumbangan kepada penerima yang terlibat.

Sementara itu, penerima sumbangan, Che Amah, 76, berkata sumbangan yang diberikan dapat mengurangkan beban terutamanya di bulan Ramadhan.

“Syukur kerana sudi membantu menghulurkan sumbangan dan mengurangkan beban kerana saya mempunyai dua anak, salah seorangnya mempunyai masalah kesihatan dan jumlah zakat dikurangkan pada bulan ini,” kata Che Amah.

Dalam pada itu, kuliah muslimat telah menampilkan Ahli Biro Wanita Isma SPU, Ustazah Normah Mohamed yang berkongsi tentang Ramadhan.

“Kesempatan umur menjalani ibadah puasa pada kali ini perlu digunakan sebaik mungkin,”

“Rebutlah 10 malam terakhir Ramadhan kerana terdapat satu malam yang mana ganjaran beribadahnya lebih baik daripada 1000 bulan,” tambahnya.

Majlis berbuka puasa turut berlangsung di perkarangan Majlis Jamik Haji Abdul Rashid yang dihadiri sebahagian penduduk setempat serta ahli-ahli Isma.

Oleh Azidatul Anis Aziz
Biro Komunikasi dan Multimedia
Isma Seberang Perai Utara