Wanita ISMA Komited untuk Sihat!

Pinang Tunggal, 5 Syaaban – Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) dengan kerjasama Beliawanis Pulau Pinang telah julung-julung kalinya berjaya menganjurkan Kejohanan Badminton Wanita ISMA, yang menarik penyertaan seramai 60 peserta, di sini Sabtu 29 April lalu.

Menurut Pengarah, Puan Nasruna Anhar Nordien, kejohanan ini bertujuan mempersiapkan golongan wanita dengan tubuh badan yang sihat bagi menghadapi cabaran masa kini. Memiliki badan sihat merupakan tuntutan ke atas setiap muslim, lelaki mahupun wanita. Hal ini disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis riwayat Imam Muslim bahawa; mukmin yang kuat itu lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.

“Wanita ISMA amat komited untuk memastikan setiap ahlinya melakukan aktiviti riadah setiap minggu sehinggalah tertubuhnya i-Fitness dan penganjuran Kejohanan Badminton Wanita ISMA seperti ini bakal berlangsung di setiap cawangan di seluruh negara,”

“Program yang kita laksanakan ini diharap dapat menjadi pemula kepada gaya hidup sihat dalam sesebuah institusi keluarga, dan seterusnya mampu melahirkan generasi muda-mudi Islam yang sihat dan kuat untuk agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Seorang peserta, Norfarhanim Abdullah berkata, program ini bagus bagi menggalakkan para wanita yang selama ini hanya fokus bekerja dan berada di rumah untuk keluar beriadah. Beliau berharap program ini dapat dijalankan secara berkala supaya momentum bersukan dapat dikekalkan.

Sementara itu, pasangan juara, Nurul Nabila Muhammad dan Suhaili Liyana Ariffin@Sukri berkata, program berbentuk santai ini sangat bermanfaat kerana dapat mengisi masa lapang, membuka peluang untuk saling berkenalan sekaligus mengeratkan ukhuwah antara ahli dari pelbagai peringkat umur.

“Alhamdulillah. Besar harapan kami agar kejohanan sebegini akan diteruskan pada masa dan tahun hadapan”, tambah dua pelajar jurusan pergigian di Penang International Dental College (PIDC) ini.

Oleh:Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita
ISMA Seberang Perai Utara.