Tinggalkan kebiasaan ketika Ramadhan

SUNGAI DUA, 20 Syaaban 1438H -“Ramadhan merupakan bulan yang mendidik jiwa seorang muslim agar meninggalkan perbuatan yang menjadi kebiasaannya pada bulan – bulan lain”, ujar Ustazah Norhayati Abdul Wahab dalam siri terbaru usrah wanita bertempat di Pengkalan Machang, Sungai Dua, Ahad lalu.

Ramadhan yang tiba hanya sekali setahun merupakan hadiah Allah kepada orang-orang yang beriman bagi menyucikan jiwa dan mendekatkan diri kepadaNya, serta sebagai bekalan untuk meneruskan amal kebaikan mereka di bulan-bulan berikutnya.

“Masa kita lebih banyak di masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih dan beriktikaf, mulut pula tidak jemu menuturkan zikir dan mengalunkan ayat-ayat  suci al-quran. Tangan pula merasa ringan untuk membantu dan menghulurkan sedekah kepada yang memerlukan. Inilah keberkatan dalam bulan Ramadhan yang perlu dikejar oleh setiap orang beriman”, kata beliau lagi.

Oleh itu, perbuatan sia-sia seperti bersembang kosong dan menonton rancangan hiburan melalaikan dan menimbulkan syahwat  seharusnya dapat kita tinggalkan. Urusan membeli-belah untuk Syawal pula patut dirancang sebelum tiba Ramadhan agar tidak menggangu tumpuan kita beribadah dan melakukan amal kebaikan sepanjang bulan.

Masih belum terlambat untuk kita semua mempersiapkan diri untuk melangkah ke bulan mulia yang bakal tiba beberapa hari lagi. Persediaan rohani amat penting bagi memastikan kita dapat berpuasa penuh, seterusnya menunaikan solat sunat tarawih dan qiamulail di malam hari.

Kesihatan jasmani membantu kita berpuasa, bekerja dan beribadah dengan seoptima mungkin manakala perancangan ekonomi memudahkan kita bersedekah serta memberi makan kepada golongan miskin. Ilmu yang cukup mengenai kelebihan berpuasa di bulan Ramadhan dan perkara yang harus dielakkan perlu dikuasai agar puasa kita menjadi nilaian yang berat di sisi Allah s.w.t, insyaAllah.

Oleh Siti Nurfarhana Puat
Wartawan Biro Wanita
ISMA Seberang Perai Utara