Murabbi Ana Kering, Mutarabbi Ana Degil

“Mutarabbi Ana degil, susah betul nak faham dakwah tarbiah ni. Ana dah cuba macam-macam cara nak fahamkan Mutarabbi Ana tentang dakwah dan tarbiah ni. Dah belanja makan, dah beri hadiah, dah ber-pillow talk, dah rehlah merata, sama-sama ke jaulah lagi… Tapi, natijahnya masih sama,” luahan Murabbi.

“Ana macam tak ada chemistry je dengan Murabbi Ana, selalu je ada rasa tak kena, ukhuwah lesu, tarbiah kering. Murabbi Ana macam tak pandai langsung ambil hati Ana. Pengisian yang Ana selalu dengar pula tak menyentuh hati Ana, tak basah. Ana rasa macam nak tukar Murabbi je,” luahan Mutarabbi.

Sering kita dengar permasalahan ini, bukan semata-mata dengar sahaja malah mungkin antara kita pernah mengalaminya, merasainya dan melalui situasi sebegini. Sama ada sebagai seorang Murabbi atau mungkin juga sebagai seorang Mutarabbi. Satu fenomena yang sememangnya akan berlaku dalam gerabak dakwah dan tarbiah.

Sebagai seorang Murabbi, mungkin akan timbul perasaan yang tidak baik dalam diri. Sama ada kecewa, sedih, marah, kesal atau juga mungkin terkilan dengan keadaan Mutarabbi yang masih sama. Keadaan masih di takuk yang lama dan unsur-unsur jahiliyah masih lagi menjadi rutin dalam diri Mutarabbi, sedangkan segala usaha telah dilakukan dari pihak Murabbi.

Sebagai seorang Mutarabbi pula mungkin akan timbul rasa bosan, tiada semangat, datangnya futur dalam diri. Kesan daripada itu, Mutarabbi akan mula mencipta alasan, memberi helah, lama kelamaan menghilangkan diri dan jauhkan diri dari dakwah dan tarbiah. Atas alasan Murabbi tegas, tidak cool, tidak faham keadaan Mutarabbi, kering, tidak up-to-date dan lain-lain.

Mungkin agak tidak adil jika dikatakan inilah fenomena yang berlaku dalam dakwah dan tarbiah dan ianya berlaku dalam semua jemaah. Namun, hakikat yang perlu diterima adalah ia sememangnya berlaku dan menjadi satu realiti yang perlu ditelan oleh pendamba syurga Allah. Dalam hal sebegini, siapa yang harus dipersalahkan di atas kepincangan yang berlaku? Adakah Murabbi penyebab utama masalah ini, atau Mutarabbi adalah punca segala permasalahan ini? Tiada lain yang perlu dipersalahkan adalah diri sendiri.

Seorang Murabbi seharusnya memahami maksud sebenar Murabbi, dengan kata lain menjalankan tugas sebenar sebagai seorang Murabbi. Sebagai seorang Murabbi, mereka perlu faham bahawa seorang Murabbi itu memikul tanggungjawab besar dalam memastikan pelaksanaan proses tarbiah berjalan dengan lancar. Memberi fokus kepada pembentukan peribadi muslim ke arah individu yang soleh dan musleh. Memerhatikan dari segi aspek ar-ria’yah (pemeliharaan), yang mana seorang Murabbi perlu memelihara Mutarabbi dari kancah maksiat dan dosa.

Seterusnya at-tanmiah (pengembangan), perkembangkan Mutarabbi kepada individu muslim yang lebih baik dan memberi manfaat pada diri serta masyarakat. At-taujih, pengarahan atau memberi nasihat dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah serta segala kemungkaran. Akhir sekali sebagai seorang Murabbi yang bertanggungjawab untuk memastikan Mutarabbi berubah ke arah yang lebih baik, perkara yang perlu dilihat pada Mutarabbi adalah dari aspek at-tauzhif (penugasan). Murabbi perlu memberi penugasan kepada Mutarabbi sama ada dari skop tarbawi, contohnya meletakkan KPI mutabaah amal yang perlu dicapai oleh Mutarabbi. Termasuklah bilangan muka surat tilawah Quran, bilangan rakaat solat-solat malam, al-mathurat dan amalan yang lain-lain. Manakala, dari sudut dakwah juga perlu diberikan penugasan mengikut kemampuan Mutarabbi itu sendiri. Mulakan dengan menjadi pembantu kepada AJK program, memberi pendedahan awal dan seterusnya menjadi AJK-AJK program. Hal ini akan memberi peluang kepada Mutarabbi supaya dapat merasa sendiri pengalaman sebagai AJK, pada masa yang sama dapat mempraktikkan ilmu yang mereka peroleh.

Murabbi memainkan peranan yang sangat penting dalam proses membentuk dan mencetak kader-kader dakwah. Menjadi Murabbi yang bermasalah dan berlengah-lengah dalam urusan dakwah dan tarbiah ini akan memberi kesan yang buruk kepada perkembangan Jemaah. Bahkan, lebih teruk lagi adalah melengahkan kemenangan yang Allah telah janjikan kepada umat Islam. Sebagai seorang Murabbi dakwah juga perlu mengambil masa untuk memuhasabah diri, apakah mereka telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaiknya, sesempurnanya dan kesungguhan yang sebenarnya. Atau pun masih lagi bermain-main dan tidak serius dalam menjalankan amanah dari Allah itu, sedangkan mereka adalah orang yang sedang menyambung rantai-rantai perjuangan Rasulullah SAW, para sahabat dan pejuang-pejuang Islam yang terdahulu. Menjadi seorang Murabbi dakwah, bukanlah semata-mata menjadi ketua kumpulan kepada usrah-usrah tetapi bertanggungjawab untuk menjadi Murabbi sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 151,
“Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu al-Kitab dan al-Hikmah (as-Sunnah) serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.”

Jika ditelusuri ayat di atas, Allah SWT menekankan tiga aspek penting di dalam proses pentarbiyahan iaitu menyucikan jiwa agar terbentuknya ruhiah ma’nawiah, mengajarkan ilmu agar terbentuknya fikriah thaqafiah dan mengajarkan cara beramal agar terbentuknya amaliah harakiah.

Dalam menjayakan ketiga-tiga aspek penting ke arah proses pentarbiyahan peribadi muslim yang digelar Mutarabbi itu, seorang Murabbi perlu mengenali dengan dekat peribadi seorang Mutarabbi. Mengetahui setiap sikap peribadi, akhlak dan latar belakang mutarabbi dengan mendalam sama ada sikap semasa bersama kawan-kawannya yang lain atau semasa bersama-sama dengan kawan seusrahnya. Seorang Murabbi tidak boleh menilai atau mengadili Mutarabbi mereka dengan hanya berjumpa semasa hari usrah sahaja, melihat dengan mata kasar dari pandangan jauh semata-mata. Namun sebagai seorang Murabbi perlu turun menziarahi Mutarabbi mereka ke bilik, mengajak keluar bersama walau pun hanya keluar memberi barang keperluan untuk program. Murabbi juga boleh merancang aktiviti yang dapat mencipta ruang untuk mengajak Mutarabbi keluar bersama, memasak bersama, tidur bersama dan lain-lain lagi yang bersesuaian dalam mendalami sikap dan sifat Mutarabbi. Seorang Murabbi perlu menilai dan mengadili Mutarabbi itu dengan mata hati yang telus dan ikhlas dalam membawa mereka kepada Islam yang sebenar.

Hakikat yang seorang Murabbi sentiasa perlu sedar adalah bahawa Mutarabbi yang dibawa kepada Islam itu bukanlah robot, akan tetapi seorang manusia biasa yang punya nafsu dan keinginan. Sebagaimana robot yang memiliki sifat mudah menerima segala maklumat serta input dan kemudian diterjemah kepada bentuk output dalam sekelip mata, ia pula berlaku sebaliknya kepada manusia biasa yang baru disentuh hidayah Allah dalam mengenali dan memahami tarbiah dan dakwah. Sememangnya begitu, kerana dakwah yang dibawa ini tiada yang mudah. Walhal, pada zaman Rasulullah SAW telah menjadi satu bukti yang kukuh bahawa kerja dakwah ini tidak semudah mengisi maklumat dalam pendrive, setelah itu sewenangnya memindahkan ia ke dalam komputer lain sepantas kiraan 1,2,3.

Proses tarbiah mengambil masa yang lama dan pendekatannya adalah berbeza mengikut individu yang berbeza. Sama ada sebagai Murabbi mahu pun Mutarabbi, kedua-duanya perlu tinggi mujahadah dalam usaha untuk meneruskan tarbiah dan dakwah dalam diri. Kedua-duanya perlu memiliki nilai thabat yang tinggi, mencari mutiara hikmah di sebalik ujian dan halangan yang dihadapi. Sekalipun perlu berhempas pulas dengan ajakan nafsu ammarah dan nafsu lawwamah, teruskan istiqamah ke arah mencapai keikhlasan dalam beramal.

Jika ditanya kembali, siapakah yang perlu dipersalahkan? Maka jawapannya adalah, tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Namun, sebagai Murabbi hendaklah sentiasa ikhlas dalam melaksanakan amal dakwah dan tarbiah. Sentiasa mencari ikhtiar dengan mempelajari lebih banyak kemahiran dalam menyentuh hati Mutarabbi dan bertawakallah kepada Allah SWT kerana yang memegang hati Mutarabbi itu hanyalah Allah SWT. Seterusnya, istiqamah dalam mentarbiah Mutarabbi dan pada masa yang sama tarbiah dzatiyah juga jangan ditinggalkan dalam memperbaiki diri.

Sebagai mutarabbi pula, lihatlah apa yang ingin disampaikan oleh Murabbi berbanding mempersoalkan tentang siapa yang menyampaikannya atau layakkah Murabbi ini menyampaikannya. Sama ada basah atau kering pengisian itu bukanlah matlamat utama, tetapi yang kita mahukan adalah ilmu yang mampu membersihkan hati dan menyucikan jiwa, yang mampu membentuk diri menjadi lebih positif dan punya himmah yang tinggi. Pada masa yang sama, mampu meningkatkan iman serta menguatkan lagi diri untuk terus kental merentasi perjalanan dakwah dan tarbiah yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Dalam surah al-Hujurat, ayat ke 15. Allah berfirman;
“Sesungguhnya orang mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang yang benar.”

Oleh Nurul Suhaida Ibrahim
Aktivis Pembina di USM