Katakan tidak kepada bau mulut ketika berpuasa!

Bulan mulia iaitu bulan Ramadan merupakan bulan istimewa dan lubuk pahala yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seantero dunia. Pelbagai persiapan rohani dirancang agar segala amal ibadat dapat dilaksanakan sebaiknya dan diterima oleh Allah SWT serta memperoleh sebaik-baik ganjaran di sisi-Nya.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda :

“Seandainya umatku mengerti kebaikan-kebaikan yang ada di bulan ini (Ramadhan), niscaya umatku mengharapkan dalam setahun menjadi ramadhan semuanya.” (HR Ath-Thabrani)

Namun begitu persiapan fizikal semasa berpuasa tidak boleh diabaikan dan dipandang enteng oleh semua. Acap kali ramai yang mengeluh tentang bau mulut yang kurang menyenangkan (halitosis) semasa berpuasa. Antara faktor yang menyebabkan timbulnya bau mulut ini adalah kerana ketika berpuasa, kurangnya pergerakan mekanisma mulut kerana ketika siang hari kita tidak makan dan minum serta kurangnya bercakap disebabkan keletihan. Oleh itu aliran air liur (saliva) yang berfungsi secara semulajadi untuk membersihkan rongga mulut, menjadi kurang dari kebiasaan. Maka mulut orang yang berpuasa akan menjadi kering dan sisa makanan yang tidak dibersihkan dengan baik di dalam mulut akan menjadi sumber aktiviti bakteria yang menyebabkan mulut dan nafas menjadi begitu tidak menyenangkan!

Rasulullah SAW ada bersabda :
 “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Kesan dek bau mulut ini, diri sendiri serta orang sekeliling tidak dapat berkomunikasi dengan selesa. Ketrampilan, kredabiliti dan keyakinan diri seseorang semestinya akan terjejas. Tiada siapa mahu mendekati orang yang mulutnya berbau. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, ini tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.

Oleh yang demikian, pentingnya menjaga kebersihan mulut ketika berpuasa agar mulut kurang berbau dan seseorang itu serta orang sekelilingnya dapat menjalani dan melakukan aktiviti seharian dengan selesa dan tanpa sebarang gangguan. Antara penjagaan mulut yang seharusnya dititikberatkan dan dilakukan ketika berpuasa ialah:

  • Memberus gigi

Memberus gigi ketika berpuasa hendaklah dilakukan selepas sahur di waktu pagi dan sebelum tidur ketika malam hari. Dua waktu ini merupakan waktu kritikal dan perlu dipastikan mulut seseorang itu bersih kerana selepas itu, tiada aktiviti di dalam mulut dan kurangnya aliran air liur. Memberus gigi turut memberi manfaat untuk menghilangkan plak, mencegah infeksi, dan mengurangkan  bakteria penyebab masalah mulut yang lain. Ini juga merupakan Sunnah Rasulullah SAW.

“Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha.” (HR Ahmad, An-Nasai, Ibn Hibban dll)

Celah-celah gigi juga boleh dibersihkan menggunakan `floss` atau `interdental brush`. Bagi pemakai gigi palsu, pastikan tiada sisa makanan yang melekat pada gigi palsu dan hendaklah dibersihkannya pada setiap kali selepas makan berbuka dan bersahur.

  • Membersihkan lidah

Lidah juga merupakan tempat berkumpulnya bakteria. Jika seseorang itu memberus gigi tanpa membersihkan lidah, maka bakteria akan berpindah dari gigi ke lidah. Oleh sebab itu, kebersihan lidah patut dititikberatkan. Lidah dapat dibersihkan dengan menggunakan berus atau pembersih lidah. Pastikan lidah dibersihkan selepas memberus gigi untuk mengurangkan bau mulut bagi orang yang berpuasa.

  • Jangan merokok

Rokok perlu dihindari untuk memastikan mulut sentiasa bersih dan tidak berbau. Sememangnya rokok yang membawa mudarat kepada tubuh badan, turut memberi kesan buruk kepada mulut, iaitu menyebabkan noda pada gigi dan kanser mulut. Elakkan merokok meskipun sesudah berbuka mahupun sebelum terbit fajar di waktu pagi.

  • Menggunakan ubat kumur mulut

Penggunaan ubat kumur mulut yang semakin meluas kini adalah penting untuk mencegah bakteria aktif yang menyebabkan plak dan karang gigi seterusnya menjejaskan kesihatan gusi. Penggunaannya digalakkan sehari sekali dan dibenarkan ketika berpuasa, namun jika di kumur berlebihan atau tertelan dengan niat sengaja boleh menyebabkan puasa terbatal. Elakkan juga menggunakan ubat kumur yang mengandungi alkohol. Ini kerana alkohol akan menyebabkan mulut menjadi lebih kering dan berbau.

  • Minum air secukupnya

Minum air dengan kuantiti yang mencukupi pada waktu malam dan ketika bersahur untuk mengekalkan hidrasi badan. Pengambilan buah-buahan juga dapat mengekalkan hidrasi badan pada tahap yang baik seterusnya mengurangkan bau mulut ketika berpuasa.

  • Dapatkan pemeriksaan gigi

Sebarang masalah pergigian ketika berpuasa hendaklah terus dirujuk kepada doktor pergigian untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Gigi yang rosak dan dibiarkan sememangnya menjadi faktor mulut berbau dan perlu dihindari. Islam sendiri membenarkan rawatan pergigian ketika berpuasa selagi mana pesakit tidak tertelan apa-apa bahan atau ubatan, atau melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa.

Konklusinya, keadaan mulut berbau dapat dicegah dan dielakkan ketika berpuasa jika seseorang itu betul-betul menitikberatkan penjagaan kebersihan mulut masing-masing. Islam itu sendiri mudah dan sangat mementingkan bab kebersihan dan kecantikan. Jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan dan jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!

Oleh Dr Aina Nadia binti Ahmad Nadzri
Aktivis ISMA Seberang Perai Utara Malaysia