Bina jati diri pejuang

SUNGAI PETANI, 12 Syaaban 1438H, Selasa – Generasi kini perlu dibina jati diri pejuang silam yang sebenarnya dengan menerima kemenangan dan kekalahan dengan terbuka serta tidak lemah semangat untuk terus berjuang.

“Menang atau kalah itu adat permainan. Hakikatnya anak-anak perlu diterapkan dengan sifat pejuang yang tidak mudah menyerah kalah,”

“Oleh itu, sangat penting penglibatan anak-anak untuk menjadikan mereka bersemangat tinggi dan bekerja dengan lebih baik,” kata Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU), Ustaz Abdul Rahim Sudin ketika merasmikan majlis penutup Karnival Sukan Tradisional Nazim Zon Utara 2017

Karnival anjuran Kelab Anak-Anak Hebat (Nazim) diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bedong mengetengahkan acara sukan tradisional iaitu lari dalam guni, bowling kelapa, susun bata, baling tin, tarik upih, kasut tempurung dan galah panjang.

Selain itu, tarik tali di antara waris peserta dan urus setia juga diadakan sebagai penyeri majlis.

Sepanjang karnival ini, para peserta kelihatan teruja dan menunjukkan semangat berpasukan serta bersungguh-sungguh dalam pertandingan.

Salah seorang peserta, Asmak Anuar, 10, berkata karnival diadakan ini sememangnya menguji ketahanan fizikal.

“Pengalaman yang tidak akan saya lupakan kerana kesemua acara memerlukan ketahanan fizikal yang kuat,” ujarnya.

Sementara itu, peserta, Yunalis Khaleffa Khairul Anuar, 8, berkata penganjuran kali ini merupakan satu pengalaman yang bermakna untuk berusaha pada masa akan datang.

Seramai 143 peserta yang terdiri daripada empat kontinjen iaitu Seberang Perai Utara, Sungai Petani, Kubang Pasu dan Perlis telah menghadiri karnival sukan tradisional kali ini. Kontinjen Kubang Pasu telah memenangi kejohanan keseluruhan diikuti dengan kontinjen Sungai Petani, Perlis dan Seberang Perai Utara.

Oleh Nur Wahida Zulkifli
Wartawan Biro Nazim Seberang Perai Utara