Anak-anak Teruja Sambut Ramadhan

KULIM, 2 Ramadhan 1438H, Ahad – Program “We Love Ramadhan” anjuran Kelab NAZIM Cawangan Kulim mendapat sambutan hangat penduduk setempat di Surau Al-Ittihad Kulim Perdana, Jumaat 26 haribulan lalu. Bermula 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari, program khas persiapan Ramadhan ini telah disertai seramai 50 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Apabila Ramadhan tiba, banyak persiapan dilakukan oleh umat Islam untuk menemui bulan mulia yang penuh keberkatan ini. Persiapan fizikal, rohani dan mental amat penting supaya dapat berpuasa berterusan, tadarus al-quran, serta bagi menunaikan solat tarawih di malam hari. Tidak ketinggalan juga bagi kanak-kanak.

Menurut Pengarah Program, Wafa Elyani Abdul Rahim, program ini bertujuan untuk menanam dan memberi kefahaman berkaitan puasa di bulan Ramadhan kepada kanak-kanak secara santai.

“Terdapat tiga aktiviti menarik dilalui peserta. Pertamanya, aktiviti menghafaz niat puasa, doa berbuka dan potongan ayat al-Quran berkaitan puasa. Setelah itu, mereka disajikan dengan tazkirah berkisarkan indahnya puasa oleh Ustazah Diana Salleh. Kemudian, mereka belajar membuat juadah berbuka iaitu buah Melaka,” ujarnya.

Salah seorang waris, Puan Ana berkata, beliau sangat berterima kasih kepada pihak penganjur di atas program yang bermakna ini.

“Alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan. Terima kasih kepada pihak penganjur di atas program yang hebat ini. Anak-anak sangat teruja dan mereka tak sabar untuk sertai lagi program seperti ini pada masa akan datang”, katanya.

Sementara itu, Puan Zarina Ismail, seorang lagi waris peserta berkata, anak-anaknya teruja untuk menyertai lagi program seumpama ini di masa akan datang.

“Anak-anak ni memang macam itu. Bila dah sertai sekali, mereka akan tanya bila lagi program ni akan diadakan”, tambahnya.

Oleh Nur Husnuzzan bt Azizan
Wartawan Kelab NAZIM Kulim