Lalu di manakah ikhwah telah menghilang?

Salam Ukhuwwah dan Salam Perjuangan buat para duat yang menegakkan risalah Allah.

Menjadi satu kebiasaan, apabila kita melihat peserta program dan bilangan keahlian di kawasan, akhawat pasti akan melebihi bilangan ikhwah. Fenomena ini bukan sahaja menjadi isu dalam negara, malahan ia juga isu kritikal yang sering diperdebatkan di luar negara. Untuk mendapatkan penyertaan lelaki dalam sesebuah program umum adalah jauh lebih sukar berbanding peserta perempuan. Itu belum dikira mesyuarat biro ataupun lantikan jawatan kuasa program; seolah-olah mesyuarat dan jawatan kuasa yang dilantik itu didominasi oleh kaum hawa. Perkara yang lebih membimbangkan adalah, bilangan ikhwah yang kurang ini memberi kesan yang besar kepada pembangunan sesebuah organisasi dakwah terutamanya daripada sudut pemilihan pimpinan.


Apabila bilangan ikhwah yang berkualiti adalah sedikit, tugasan mula diberikan pada orang yang sama. Seorang akh memegang 2 ke 3 posisi berbeza dalam satu-satu masa. Apabila beban kerja semakin bertambah, hasil yang ingin dicapai dan output gerak kerja semakin kurang efektif. Itu belum dicampur program-program tarbawi yang perlu dihadiri, liqa’ khusus yang dibawa, meeting lokaliti mahupun pusat yang perlu diraikan. Fenomena ‘bertopi-topi’ ini akan memberikan kesan jangka masa panjang dari segi produktiviti organisasi dakwah itu sendiri kerana seseorang akh itu akan mudah hilang fokus dalam amal. Malahan, tempias kekurangan ini juga akan memberi kesan jangka masa panjang dari sudut pembangunan organisasi dan kemenjadian seseorang akh dan ukhti itu apabila kita mula berbicara perihal bait muslim. Isu akan menjadi kritikal apabila sesorang ukhti yang sudah bersedia untuk menikah, tetapi tiada calon yang sesuai untuk dipadankan kerana fenomena ketandusan ikhwah. Ya, itu belum dikira lagi jumlah ikhwah yang mengahwini bukan seorang ukhti yang mempunyai fikrah tarbiyah dan dakwah yang sama dengan beliau. Lalu kefuturan akan mula menghiasi jiwa ikhwah/at apabila fasa kedua maratib amal tidak dapat dijayakan sebaiknya, bila mana pasangan hidup tidak segera menyokong amal dakwah yang diusahakan selama ini.


Ikhwah/at yang dihormati,

Lalu persoalan penting yang bermain dalam minda penulis ketika ini yang ingin diajukan dalam minda setiap pembaca, adalah

Di manakah Ikhwah telah menghilang?”

Apakah benar fenomena ikhwah semakin ‘pupus’ ini adalah kerana jumlah anak Adam di atas muka bumi ini sedikit berbanding kaum yang bergelar ‘Hawa’ kerana faktor akhir zaman? Atau mungkinkah sebenarnya fenomena ini adalah salah satu sunnatullah yang telah ditetapkan di Lauh Mahfuz sejak azali lagi?

Dakwah Fardiah: Satu Seni Yang telah Hilang!

Hakikat sebenarnya yang perlu ditelan oleh semua ikhwah walaupun ia pahit iaitu; masalah terbesar kita; adalah dari sudut amal tajmik dan takwin yang kurang berkesan dalam kalangan kita sendiri sesama jantina lelaki. Penulis sempat bersembang dengan beberapa ikhwah berkenaan isu ini, dari sudut keberkesanan amal tajmik setelah bertahun-tahun berusaha namun tiada hasilnya. Antara jawapan yang dikongsikan:

Oh, anta kena faham, ikhwah ni lain akhi, tidak macam akhawat. Sebab itu susah lekat dan mudah hilang,”

Perempuan kalau kita pengaruh emosi, akan mudah lekat kerana sense of secure depa lebih tinggi, kerana nature of kebersamaan depa itu lebih tinggi. Lelaki kita kena banyak pengaruh cara fikir sebab depa lebih rasional dalam menetukan hala tuju hidup,”

Allah tidak memandang hasil akhi, Allah memandang usaha kita. Hidayah itu milik Allah”

Benar, penulis tidak menafikan bahawa Allah memandang lebih kepada usaha yang dilakukan dan bukannya hasil. Dan penulis juga setuju perbezaan fitrah lelaki dan perempuan menyebabkan bilangan yang dikaderkan boleh berbeza. Namun begitu, saya ingin bertanya kepada kita semua, sampai bila kita ingin memberikan alasan sedemikian? Sampai bila kita ingin mencipta alasan demi alasan mengapa program tajmik kita tidak menjadi? Sampai bila kita ingin melihat muka-muka ikhwah yang sama yang menjalankan program pada setiap tahun?

Antara faktor kelesuan tajmik dalam kalangan ikhwah, adalah kerana seni dakwah fardiah yang kurang dipraktikkan dalam kehidupan seharian, yang menyebabkan keberkesanan itu merudum. Masih teringat akan pesan seorang ikhwah satu ketika dahulu, selalu berpesan,

Jangan sesekali kita tinggalkan amal dakwah fardiah dalam kehidupan seharian kita kerana amal dakwah ini memerlukan latihan untuk mencapai hasil, dan latihan itu lah yang akan menambahkan pengalaman berhadapan dengan pelbagai karektor manusia dan mad’u. Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada dakwah dan hidayah kepada individu dengan hanya sekali berusaha, tetapi ia memerlukan latihan dan percubaan berkali-kali tanpa putus asa. Pengalaman lah yang akan membezakan teori dalam kitab-kitab fiqh dakwah dengan medan amal realiti”

Menjantankan Tajmik yang Lesu

Antara tanda dan faktor yang tidak sihat dalam sesebuah organisasi Dakwah adalah ikhwah yang sama menjalankan program, walaupun seharusnya beliau memegang amal dan posisi lain. Bermakna ini petanda bahawa proses tajmik dan takwin tidak berjalan dengan baik.

Lalu ikhwah, sudah sampainya pada hari ini untuk setiap Akh untuk keluar daripada zon selesa untuk men’jantan’kan tajmik sesama lelaki. Program yang disusun perlu keluar dari sifat kebiasaan dan sifat feminin yang katanya kurang memikat hati-hati lelaki. Tidak keberatan apabila penulis katakan bahawa tajmik orang lelaki adalah di padang bola, di atas gunung, di gym, dalam hutan belantara dan di dalam permusafiran. Orientasi program yang mencabar sifat maskulin dan kejantanan seseorang lelaki seperti di tempat yang disebutkan diharap akan dapat menakung sosok tubuh seorang pemuda yang berkualiti dan mempunyai ciri keperibadian yang lain daripada yang lain. Kepelbagaian inilah yang diharapkan akan dapat dibentuk menjadi satu ketumbukan padu yang boleh disalur kepada kepentingan islam seperti hadis baginda SAW berkenaan logam:

الناس معادن، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ. إِذَا فَقُهُوا

Manusia seperti logam; terpilihnya semasa jahilliyan; terpilihnya semasa islam; jika mereka ‘faham’.”

Berminda Tajmik Sampai Mati!

Ya Ikhwah,

Mungkin bunyi agak radikal, tetapi itulah falsafah hidup seorang duat apabila kita seharusnya meletakkan sepenuh jiwa raga dan kehidupan kita adalah untuk dakwah wa Islam. Kita ingin membenarkan apa yang sering kita lafazkan sewaktu solat di dalam doa iftitah:

اِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي ِﷲِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam”

Seharusnya ikhwah, kita perlu mempunyai minda tajmik di mana pun kita berada dan apa pun jua posisi kita di dalam organisasi. Dari bangun tidur sehinggalah kepada tidurnya kembali, semuanya adalah untuk dakwah dan islam. Sama ada pergi ke kuliah di Universiti, pergi ke hospital, pergi ke kilang, pergi ke sekolah, solat berjemaah di masjid, bermain bola di padang, membeli belah di pasar raya, mesyuarat bersama ajk taman, menaiki bas serta pengangkutan awam, dan di setiap urusan seharian, kita perlu mempunyai orientasi tajmik untuk membesarkan kalimah syahadah. Hatta inilah sebenarnya hakikat pengisian Syahadatul Haq yang kita Imani selama ini.

Duhai Para Pejuang,

Kerja-kerja tajmik dan takwin bukanlah hanya ditaklifkan kepada tugas jundi sahaja, ataupun qiadah semata-mata, tetapi setiap individu di setiap peringkat mustawa perlu melakukan amal tajmik masyarakat kerana itulah kerja-kerja asasi sebagai seorang duat. Setiap ikhwah perlu belajar bagaimana untuk memimpin dan mengurus manusia. Belajar untuk mempengaruhi manusia, belajar untuk berinteraksi sesama manusia, belajar untuk meraikan jiwa manusia dan yang paling penting adalah setiap akh MESTI belajar untuk menyentuh hati-hati manusia.

Ramai para ikhwah tertipu apabila beliau merasakan beliau sudah berdakwah apabila beliau telah memegang jawatan di dalam biro atau organisasi. Cukuplah bagi beliau untuk menjalankan program berorientasikan dakwah semata-mata untuk mencapai KPI pusat dan hanya gencar di media massa; facebook, Instagram dan twitter, tetapi akhirnya tiada orang yang terbina dan tiada orang yang telah berjaya di follow up.

Membina Jiwa Murabbi

Ayuh mari kita bermuhasabah ikhwah (termasuk diri penulis), dalam masa beberapa tahun kita mengikuti program tarbiyah, berapa ramai individu yang telah kita tarik dan ajak untuk bersama-sama dalam saf tarbiyah? Berapa ramai yang berubah kerana Allah atas asbab diri kita? Berapa ramai yang telah berjaya kita sampaikan fikrah yang kita Imani sehingga mereka juga beriman atas fikrah yang kita imani?

Ikhwah, ketahuilah tidak cukup hanya sekadar kita menunggu arahan daripada Qiyadah untuk ditaklifkan memimpin halaqah/usrah mingguan barulah kita akan berusaha untuk memimpin halaqah. Sekiranya tiada, seharusnya kita sendiri yang bertindak proaktif dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari manusia di luar sana untuk bersama-sama menyertai halaqah mingguan dan program dakwah. Apabila kita sendiri memimpin manusia, baru kita sedar bahawa tugas mengurus manusia dan menarik manusia ke Jalan Allah SWT adalah tugas yang sangat sukar dan mencabar.

Sheikh Abdullah al-Ahdal pernah berkata,

Inna al–akh ash-shadiq la budda an-yakuuna murabbiyan

Tidak dapat tidak setiap akh mesti menjadi seorang murobbi”

Memetik tulisan artikel Bagaimana Menjadi Murobbi yang Hebat (28 Mac 2010), Ustaz Mohd Azizee Hasan di blog maalimfitariq.wordpress.com .

Untuk menjadi murobbi yang hebat, kita memerlukan pelatihan dan perkaderan. Sikap untuk belajar melaksanakan (at-talaqqi li tanfiz) harus menjiwai diri kita. Tanpanya usaha menjadi seorang murobbi tidak akan terhasil. Cubaan demi cubaan menghasilkan pengalaman. Pengalaman demi pengalaman akan mendewasakan kita untuk menjadi seorang murobbi. Yang penting ialah sikap untuk terus belajar harus sentiasa membara di benak fikiran dan di lubuk jiwa kita. Tarbiyah madal hayat itulah slogan kita. Tanpa jemu dan lesu kita terus membangunkan potensi diri menjadi seorang murobbi”

Sungguh ikhwah, tiada kebahagiaan lebih nikmat apabila melihat seseorang manusia itu berubah kerana Allah atas asbab diri kita. Melihat seseorang manusia itu berubah dari jahiliyah menjadi pejuang agama yang zuhud di siang hari dan ibarat rahib di malam hari, akan memberikan kita satu kepuasan tidak ternilai di hati kita. Sungguh ia hanya akan dirasai apabila kita melihat hasilnya apabila sudah berpenatan berusaha.

Cukuplah hadis ini sebagai inspirasi untuk kita terus melakar manusia generasi soleh dan musleh pada masa hadapan:

فَوَاللهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً، خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

Demi Allah, jikalau Allah memberi hidayah kepada satu orang dengan sebab dirimu, hal itu benar-benar lebih baik bagimu daripada unta-unta merah.” [Muttafaqun Alaihi]

Wallahualam,

Mohammad Aiman Hazim Zamri
Ahli Jawatan Kuasa Pembangunan Sumber Manusia (PSM) 2017/2018
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pulau Pinang