KRIM, PEMBINA dekati remaja di Tanjung dengan Roller Blade

PULAU PINANG, 21 Rejab 1438H, Selasa – Seramai hampir 80 orang remaja bersama belia dalam program Skills Exchange anjuran Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) di Universiti Sains Malaysia.

Program Skills Exchange sangat memberi manfaat apabila peserta daripada MRSM Balik Pulau dan SMK Sungai Nibong bukan sahaja diberi peluang untuk bermain Roller Blade, malah mereka juga diberi pendedahan kehidupan di kampus secara terus oleh para fasilitator daripada aktivis PEMBINA di Universiti Sains Malaysia.

Bukan itu sahaja, para fasilitator juga mendapat manfaat daripada program ini kerana dapat mempelajari ilmu bermain Roller Blade dengan betul daripada pelajar Kelab Roller Blade MRSM Balik Pulau.

Muhammad Khairul, wakil fasilitator merupakan aktivis PEMBINA di USM berkata, “Ini satu program yang baik dan sangat relevan, kerana ianya adalah perkongsian dua hala, saya sendiri tidak pandai dan tidak mahir dalam bermain Roller Blade ini, namun dengan usaha gigih adik-adik peserta Kelab Roller Blade MRSM (Balik Pulau) yang tidak jemu memberi tunjuk ajar. Akhirnya, saya mampu menggunakan Roller Blade dengan betul, walau pun masih belum mahir seperti mereka.”

Pelajar MRSM Balik Pulau, Nor Jawahir berkata “Sangat seronok dan semangat, perkongsian yang sangat membantu untuk pengurusan akademik selepas balik Maktab nanti, lebih-lebih lagi saya akan SPM pada tahun ini. Pada masa yang sama dapat kawan baru dari SMK Sungai Nibong serta aktiviti yang membuka mata saya adalah aktiviti ‘Nota Apresiasi’ yang mana sebagai seorang manusia, sememangnya kita tidak boleh hidup seorang diri. Perlu saling membantu, saling menguat dan kena sentiasa bersyukur dan tidak boleh ego.”

Wakil sekolah SMK Sungai Nibong juga sangat gembira dan bersemangat, “Saya tidak sangka akhirnya dapat bermain Roller Blade, walaupun berkali-kali jatuh. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada penganjur, dengan adanya program ini saya dapat menemui kawan baru dari MRSM Balik Pulau dan belajar perkara baru dari peserta lain dan fasilitator.”

Sebagaimana objektif program ini, matlamat di akhir program Skills Exchange ini adalah dapat bertukar-tukar kemahiran dua hala sesama fasilitator dan peserta sama ada kemahiran bermain Roller Blade mahupun kemahiran pengurusan masa, akademik dan ko-kurikulum di sekolah.

Penyertaan program ini majoritinya adalah daripada pelajar di bawah seliaan Cikgu Syafiq dan Ustazah Umi sebagai penasihat bagi Kelab Roller Blade MRSM Balik Pulau. Selebihnya, pelajar yang menjadi peserta program ini juga adalah daripada SMK Sungai Nibong anak didik Cikgu Norain Manan.

Di kesempatan itu, peserta juga sempat solat zohor berjemaah di padang Roller Blade dan ia adalah satu pengalaman yang baru bagi peserta kerana dapat merasai pengalaman solat di tengah-tengah padang.

Semoga program ini dapat dianjurkan lagi bagi mengisi masa lapang remaja dan belia dengan aktiviti yang bermanfaat bukan semata-mata kepada diri sendiri, malah kepada agama, masyarakat, bangsa dan negara.

Oleh Nurul Suhaida Ibrahim
Wartawan Ummah, ISMA Syukbah Tanjung