Jauhi perasaan dan syahwat yang merosakkan diri

SUNGAI DUA, 21 Rejab 1438H, Selasa – “Wanita yang hanya menutup aurat tetapi tidak menjaga hijab antara lelaki dan wanita yang tidak halal baginya, syaitan pasti menghiasi hati mereka dengan perasaan dan syahwat yang merosakkan diri”, ujar Ustazah Norhayati Abdul Wahab dalam Siri Usrah Wanita ISMA cawangan Seberang Perai Utara (SPU) bertajuk Hijabku, maruahku.

Di dalam tafsir surah al-Ahzab ayat ke 53, Allah memerintahkan isteri-isteri Nabi dan seluruh wanita Islam supaya menggunakan hijab iaitu alat menutup aurat atau tabir yang memisahkan antara lelaki dan perempuan dalam setiap urusan untuk membersihkan hati kaum lelaki dan perempuan daripada pandangan mata yang merosakkan jiwa.

Semasa zaman Nabi Muhammad SAW, para sahabat bebas keluar dan masuk dari rumah baginda dan melihat isteri-isteri baginda di dalam rumah apabila berjumpa baginda untuk sesuatu urusan. Dengan turunnya ayat ini, Allah memerintahkan kaum mukminin untuk meminta sesuatu atau bertanya mengenai sesuatu masalah kepada isteri-isteri Nabi melalui belakang tabir. Hal ini juga supaya hati Nabi SAW tidak disakiti atas tindakan para sahabat.

“Wanita itu semuanya adalah aurat, termasuk badan dan juga suara. Oleh itu, tidak boleh disingkap aurat melainkan untuk memberi kesaksian, terdapat penyakit di badannya atau meminta sesuatu yang ada padanya,” tambah Ustazah lagi.

Wanita Islam perlu mengetahui tuntutan hijab ke atas diri masing-masing kerana Allah memuliakan mereka dengan menjaga kesucian jiwa kaum lelaki dan juga perempuan. Apabila perlu berjumpa antara lelaki dan perempuan yang bukan isteri mereka atas urusan kerja atau menuntut ilmu, sebolehnya mereka menjaga jarak, membawa teman dan elakkan perbincangan yang tidak penting.

Kesimpulannya, seseorang wanita tidak boleh percaya pada diri sendiri dan membiarkan diri berdua-duaan dengan seseorang yang tidak halal baginya kerana akan timbul perasaan dan nafsu yang akan merosakkan jiwa seorang Muslim.