Cungkil bakat wartawan


SUNGAI DUA, 28 Rejab 1438H, Selasa – Penganjuran Bengkel Kewartawanan oleh Biro Komunikasi dan Multimedia Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU) berjaya mencungkil bakat wartawan muda di Pejabat ISMA SPU, ahad lepas.

Menurut Pengarah projek, Azidatul Anis Aziz, bengkel dihadiri sembilan orang peserta ini bertujuan mendedahkan mereka tentang teknik penulisan berita yang betul, konsep wartawan ummah dan sebagai satu platform mengasah bakat penulisan ahli ISMA.

“Selain itu, saya harap bengkel ini dapat mengeratkan hubungan antara wakil media untuk saling ‘berkongsi idea dalam penulisan dan aktiviti media agensi masing-masing selepas ini,

“Penceramah yang dijemput bukan calang-calang orang. Sebagai wartawan Sinar Harian Yan/Pendang, Puan Norjuliana Yaacob memiliki pengalaman luas dalam bidang kewartawanan sejak tahun 2013,” katanya .

Seorang peserta, Siti Nurfarhana Ahmad Puat berkata, bengkel ini memberikan banyak input berguna berkaitan penulisan berita khususnya cara mengolah ayat menjadi ringkas, padat tetapi menarik.

“Alhamdulillah, saya belajar banyak perkara dari bengkel ini. InsyaAllah, saya akan cuba hasilkan berita lebih tersusun selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, peserta, Nur Husnuzzan Azizan berkongsi, dia mendapat ilmu baru iaitu cara menghasilkan berita yang menarik minat orang untuk membaca.

“Saya harap bengkel media ini diteruskan pada masa akan datang. ISMA SPU kena ada ‘house style’ tersendiri. Bila orang baca, boleh terus kenal,” katanya.

Oleh Noradawiyah Nordin
Wartawan Biro Komunikasi dan Multimedia
ISMA Seberang Perai Utara