Wanita Tempat Mereka di Rumah.

Sungai Dua, 5 Mac- “Wanita tidak dibenarkan keluar untuk berseronok sesuka hati kerana tempat mereka adalah di rumah, sebagai isteri dan ibu bagi mendidik anak-anak,” ujar Ustazah Norhayati ketika membincangkan  perihal wanita dalam tafsir surah al-Ahzab ayat ke-33 dalam siri Usrah Wanita.

Jelas beliau lagi, Islam meletakkan kedudukan yang tinggi kepada golongan wanita iaitu mereka tidak boleh keluar sesuka hati tanpa sebarang keperluan dan kepentingan. Hal ini terbukti apabila kaum wanita tidak diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah.

“Di dalam sebuah hadis Rasulullah ada menyebutkan bahawa  wanita itu adalah aurat dan jika dia keluar maka syaitan akan mendekatinya. Maka, keluarnya wanita  akan menyebabkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita dan percampuran bebas. Natijahnya,  mereka bersalaman tanpa batasan. Jadi  untuk mengelakkan pergaulan bebas, wanita perlu mengelak dari keluar kecuali terpaksa  dan tetap menjaga syariat”, terang ustazah lagi.

Ustazah juga berkongsi mengenai keadaaan wanita di negara luar yang telah berjaya dikeluarkan dari rumah apabila pusat – pusat membeli belah dan hiburan ditubuhkan dengan banyak sekali. Hal ini menyebabkan wanita menghabiskan banyak masa di luar sehingga mengabaikan peranan sebagai isteri dan ibu.

Walaupun surah ini khusus untuk isteri-isteri Nabi, tetapi ia mencakupi seluruh wanita muslimah. Realiti pada hari ini, wanita terpaksa keluar untuk menuntut ilmu dan bekerja mencari rezeki namun mereka perlu sentiasa di ingatkan untuk menjaga ikhtilat, pandangan dan  adab –adab sopan sebagai seorang wanita Islam serta tidak mengabaikan peranan mulia sebagai isteri dan ibu bagi membentuk anak-anak generasi Islam yang hebat.

Oleh Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan Biro Wanita ISMA Seberang Perai  Utara