KLS Pulau Pinang meriah

Pulau Pinang, 14 Jan – 123 pelajar lepasan sekolah di sekitar Pulau Pinang tertarik dan teruja untuk hadir ke Karnival Lepasan Sekolah (KLS) 2017 tahun ini.

“Kita boleh lihat apabila para peserta memberikan komitmen yang sangat positif terutamanya slot yang melibatkan hala tuju kerjaya dan survival di alam universiti. Diharapkan program KLS dapat memberikan impak yang positif, dinamik kepada pelajar lepasan sekolah dalam menentukan hala tuju, tujuan hidup sebagai seorang mahasiswa malah menjadi pemimpin masyarakat akan datang” ujar wakil i-Medik, Mohammad Aiman Hazim,.

Objektif penganjuran KLS ini dapat memberi pendedahan awal pelajar tentang hala tuju serta cabaran selepas persekolahan, pilihan pusat pengajian tinggi dan bidang pelajaran, peluang ke luar negara serta peluang kerjaya.

KLS yang berlangsung pada Sabtu lepas juga membariskan panelis yang professional dan cemerlang dalam kerjaya masing-masing seperti Izwan Ishak, Jurutera, Mohammad Aiman Hazim, pelajar perubatan Penang Medical College (PMC), Siti Zulaihah Abd Karim, penulis dan pelajar, serta ramai lagi.

Antara lain yang menarik ialah forum survival kampus, 10 pameran kerjaya dan tips temuduga dan biasiswa. Selain itu, turut dimeriahkan dengan kedatangan Personaliti TV al-Hijrah, Badrul Sani dalam slot motivasi hala tuju selepas SPM.

Sementara itu, peserta KLS, Nur Aisyah Mohd Hadi berkata, penganjuran KLS ini memberi suntikan semangat untuk merancang kehidupan selepas tamat persekolahan.

“Program ini telah mendedahkan kepada saya perkara yang boleh saya laksanakan semasa cuti ini seperti belajar memasak, mengambil lesen kereta dan motor,

“Selain itu, slot motivasi banyak membantu saya dalam melihat sesuatu perkara dengan lebih jelas seperti memilih kawan yang positif dan perlu pandai membawa diri semasa di universiti kelak,” ujarnya.

Karnival tahunan anjuran bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bersama sokongan  i-Guru dan i-Medik telah diadakan di Dewan Kuliah Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Oleh Ahmad Muslihuddin Nik Seman
Wartawan Biro Penerangan
ISMA Seberang Perai Utara