Kesatuan Umat

kesatuan_ummat

Bismillahirrahmanirrahim…

Suatu permasalahan yang melanda umat Islam hari ini ialah perpecahan. Perpecahan dalam pelbagai bentuk dan cara, namun, saya ingin menfokuskan kepada perpecahan yang berlaku sesama umat Islam yang ada ciri-ciri berikut sahaja:

1. Akidah yang sejahtera
2. Bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan asasi
3. Konsep Ibadah yang jelas
4. Atas manhaj ahlu sunnah wal jamaah
5. Memperjuangkan agama Allah SWT dengan menegakkan yang hak dan menolak yang batil
6. Menganggap Islam itu Syumul tidak hanya terletak kepada sebahagian perkara
7. Ingin mendirikan semula Khilafah Islamiyyah dan hukum Allah SWT

Dengan itu tertolaklah mereka yang mengaku diri mereka Syiah, Liberal, Sekular, dan yang seangkatan dengannya. Dengan itu termasuklah dalam ciri-ciri diatas, kumpulan-kumpulan yang mengelarkan diri mereka Salafiah, As-Syairah, Matrudiyah, Sufiah, Habaib, Ikhwaniah, Tabligh dan yang seangkatan.

Beberapa perkara yang perlu kita tahu tentang kesepakatan yang diimpikan ini:
1. Selagi mana kita tiada Khilafah Islam yang didirikan semula, kita akan sentiasa berpuak-puak seperti pembahagian diatas.

2. Setiap kumpulan Islam yang diatas mempunyai sejarah, pelopor, tujuan, maka tidak mungkin mereka lebur sama sekali walau masa berlalu begitu pantas.

3. Setiap kumpulan Islam diatas juga mewakili satu juzuk besar dari Islam yang asasi dan besar, walaupun tidak mewakili semua bahagian Islam secara syumul, namun usaha kearah itu sentiasa wujud.

4. Perbezaan antara kumpulan-kumpulan itu juga adalah perbezaan memahami alat perubahan ataupun kaedah perubahan yang sesuai. Bagi saya tiada yang salah seratus peratus dan tiada yang benar seratus peratus. Hal ini kerana, keadaan Islam hari ini amat ganjil, tidak pernah dilalui zaman sebagaimana umat Islam tiada negara sendiri untuk diperintah, Al-Quran dan Hadis mereka tidak mampu dilaksanakan, bahkan hukum Allah SWT dipertikaikan oleh segelintir umat Islam sendiri.

5. Apa-apa usaha kepada peleburan mana-mana kumpulan adalah tidak wajar, ini yang boleh dilihat zaman berzaman, tiada satu daripada kumpulan yang diatas luput bahkan bertambah kuat dengan hujah-hujah yang baharu, bahkan sampai serangan peribadi pula jadinya.

6. Selain perbezaan yang berlaku adalah disebabkan oleh agama, perbezaan disebabkan oleh hawa nafsu yang merupakan kelemahan manusia menjadi faktor utama. Selain itu juga, disebabkan oleh faktor politik yang ijtihad padanya berdasarkan maslahat yang menyebabkan perbezaan kian besar berlaku dan jurang makin besar.

7. Penyatuan yang perlu adalah kerjasama pada melibatkan maslahat Islam secara amnya. Tiada formula yang lebih berkesan selain berlapang dada dan berbincang berdasarkan nas daripada syarak dan ijtihad ulama. Tiada perlu buat masa sekarang sesiapa sahaja meleburkan diri dan menghentikan kegiatan dan usaha dakwah masing-masing.

8. Untuk proses penyatuan ini perlukan kepada para ulama yang benar banyak ilmu dan hikmahnya untuk menjadi agen. Ini kerana, penyelesaian sentiasa ada dalam syariat Allah SWT.

Saya menyeru untuk semua duduk bersama bermuhasabah mencari jalan penyelesaian, kita hukum yang khianat antara kita dan kita berilitizam bersama yang beriltizam.

Sekadar coretan ringkas pandangan saya tentang penyatuan.

Wallahu’alam…

 

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ustaz Muhammad Ikram Bin Abu Hassan
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Ketua Biro Belia Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Caw SPU
Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pulau Pinang