Kerana Dakwah sifatnya begitu, akh!

Jam menunjukkan pukul 11.00 malam. Seperti biasa selepas menangguhkan majlis dengan Tasbih Kafarah dan Surah Al-Asr, aku segera berlari bergerak laju terkejar-kejar mengejar bas di luar universiti. ‘Fuh, Alhamdulillah! Nasib baik sempat….’ Getus hatiku.

Aku menahan bas dengan tanganku sambil menyandang beg galasku yang penuh dengan bekas makanan yang kosong dan buku catatan halaqah mingguan yang aku bawa sendiri selepas Asar tadi. Aku segera mengeluarkan kad elektronik perjalanan bas bulanan lalu aku dekatkan di mesin tagging yang berada dekat dengan pemandu bas lalu ku nyatakan destinasi perjalanan ku. ‘South Circular Road’. Aku segera mencari ‘port’ tempat biasa aku duduk iaitu di bahagian atas dek bas.

Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang dalam satu jam perjalanan ke rumah kadang-kadang menyebabkan pelbagai perkara menerjah masuk ke dalam kotak fikiranku. Sambil menikmati pemandangan luar malam yang ditemani dengan ragam karenah manusia yang entah ke mana dan tiada hala tuju hidupnya, aku bermonolog menyatakan kesyukuran kerana hidayah-Nya, aku masih seorang muslim setelah lebih dua dekad hidup di atas muka bumi ini. Kerana aku tahu bahawa sebagai seorang muslim ada tujuan hidup yang lebih besar selain dari beratur di pub dan kelab malam mencari hiburan yang entah tiada tahu di mana keseronokannya.

Sambil jari menari-nari di atas skrin telefon pintar untuk meneliti jadual kelas esok di hospital, spontan perkataan ini terpacul dari bibirku ‘Aduh, esok kelas pukul 9 pagi!” Kebiasaannya apabila kelas bermula lebih kurang 9pagi, Aku terpaksa memulakan perjalanan ku dari rumah satu jam setengah sebelum dari rumah dengan menaiki dua bas dengan satu transit di city centre. “Malam ni nak kena revise lagi yang Prof Alice bagi semalam, esok ada tutorial… Hmm…” tiba-tiba masuk notice alarm dari kalendar telefon pintarku: ‘Semester Exam: 1 Month!’ Kepalaku mula berkerut memikirkan banyak lagi lecture notes dan bahan P&P yang masih belum di cover sebaiknya sebelum menghadapi peperiksaan yang akan datang. Aku terus membuat anggaran kasar, untuk menghitung berapa banyak masa yang aku ada lagi sebelum exam final.

“Haissh… Tidur lambat lagi la… Nampak gayanya…” Aku termenung seketika….

Kadang-kadang dalam hatiku mula terdetik rasa cemburu dengan rakan-rakanku yang lain mempunyai banyak masa untuk study. Tiada komitmen dengan orang lain. Masa-masa berhargaku banyak dicuri oleh program-program tarbiyah dan dakwah yang aku ikuti. Bukan sahaja masa, bahkan duit poket juga mengalir laju seperti air seolah-olah macam tiada apa-apa sekatan. Apakan tidaknya, kadang-kadang setiap bulan aku terpaksa mengeluarkan duit belanja untuk travel menghadiri meeting organisasi. Meeting organsasi sudahlah banyak…. Meeting lokaliti, meeting pusat, meeting biro, meeting nuqaba’ dan bermacam-macam lagi meeting. Semuanya perlu diraikan dengan baik dengan perlu memberikan komitmen dengan sebaiknya. Itu belum campur dengan duit infaq bulanan, duit program-program tarbiyah dan macam-macam lagi duit keperluan tarbiyah diri dan orang lain. Program-program umum dakwah di lokaliti juga banyak, itu pun memerlukan duit dan masa. Kadang-kadang apabila ingin berbelanja sedikit mewah aku mungkin kena memikirkan 2-3 kali lalu membatalkan sahaja hasrat murniku kerana mesti duit yang aku keluarkan ini akan pergi kepada orang lain.

***Dakwah Tidak Dihampari Dengan Karpet Merah***

“Huisshh… Penat sheikh!” Keluh aku kepada murabbiku. Murabbiku tersenyum sewaktu mendengar bebelanku ini. Namun dari riak wajahnya terukir seribu satu kepuasan walaupun kepenatan. Aku sungguh kagum, dengan beliau walaupun hanya dapat berjumpa secara online kerana jarak memisahkan, (kerana ruangan online inilah satu-satunya talian hayat yang ada untuk memastikan kelangsungan tarbiyah ini berjalan setiap minggu) beliau begitu sabar melayan kerenahku walaupun keluhanku ini entah yang ke berapa puluh kali aku katakan kepada beliau… Seperti biasa jawapan yang diberikan sebelum ini tetap sama simple dan mudah “Akhi, Dakwah tidak dihampari dengan karpet merah”.

Namun pada malam itu aku melawan. Aku katakan yang aku penat sangat… Aku dah tak mampu nak buat banyak perkara dalam satu masa. Kenapa semua perkara kena aku yang buat? Tidak boleh ke orang lain?

“Aku nak jadi orang biasaaaaa!!!!”

Hati kecilku memberontak. Mungkin pada kali ini aku memberontak kerana peristiwa besar malam ‘itu’ yang amat memberi kesan kepada hidupku sehingga menyebabkan air mataku bercucuran jatuh. Aku menangis teresak-esak di hadapan skrin komputer dan murabbiku menjadi saksi di hadapanku akan peristiwa itu. Air mata jantan jatuh mengalir di pipiku. Sangat-sangat perit dan seksa akan perasaan Ini.

“Akh, ana berasa pelik dan susah hati. Ana dah habiskan beratus-ratus euro untuk mad’u ana. Last-last dia tak datang juga halaqah. Ana dah putus asa sheikh. Depa masih statik walaupun dah lama ikut usrah. Masih sama dengan jahiliyah mereka” luah hatiku. Aku mengesat air mata yang mengalir di pipi sambil menyeka daripada terus mengalir dari alis mata ku yang kian kemerahan kerana terlalu sebak.

“Macam-macam cara ana cuba, penat akh…”

Kadang-kadang Aku pelik, kenapa aku buat semua ini? Malah mengalahkan pengorbanan cinta seorang teruna kepada si dara.

“Ana penat. Ana seorang-seorang sahaja yang buat kerja, ana sunyi. Ana tengok dakwah orang lain mendapat sambutan. Program umum depa ramai yang pergi. Halaqah mingguan mereka sentiasa ramai dan mendapat sambutan. Seronok program depa” aku menggenggam kedua-dua belah tanganku menahan sebak di dada.
“Akh” naqibku mencelah.

“Ana sebenarnya bersyukur sangat-sangat yang anta mula memahami akan hakikat yang sebenar tentang dakwah. Susah sebenarnya nak cari orang yang benar rasa susah apabila berada di atas jalan dakwah dan tarbiyah. Realiti pendakwah hari ini menganggap bahawa kerja dakwah itu satu perkara yang ringan dan seronok walhal hakikatnya sifat dakwah bukanlah begitu. Anta pernah dengar tentang istilah daie selebriti?”

“Daie selebriti?” Tanyaku kepada naqibku?

“Ya, daie selebriti” Sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Daie selebriti adalah daie yang mana dikenali ramai, popular dalam kalangan masyarakat, dakwahnya diterima ramai, mudah sahaja berdakwah, post sahaja di facebook dan instagram beribu-ribu yang like. Tiada halangan dan cabaran. Tidak perlu keluar rumah mencari mad’u untuk ditajmik kerana nama sudah siap sedia untuk di passing dari lokaliti lain, ikhwahnya ramai di lokaliti setempat jadi programnya berjalan dengan baik. Duitnya banyak dan boleh berprogram secara besar-besaran di rumahnya sahaja. Orang lain dan daie itu merasai nikmat penjenamaan hubungan ukhuwwah fillah abadan abada, tanpa merasai erti perjuangan dan pengorbanan. Macam artis” sambungnya lagi.

“Hakikatnya dakwah bukan begitu akh,” tegasnya.

“Dakwah adalah satu perjalanan yang penuh dengan onak dan duri dan tidak dihampari dengan karpet merah dan lampu-lampu kamera dari wartawan tv. Ia adalah satu pertarungan yang luas di medan untuk menyebarkan kebaikan. Dakwah tidak memerlukan kita sebenarnya, malah satu sen pun tak perlu kerana ia akan terus bergerak menuju destinasi akhirat yang pasti. Namun apabila seseorang telah mewakafkan dirinya untuk dakwah, dakwah akan mengambil segala-galanya darinya, hartanya, masanya, tenaganya dan nyawanya sampai ke limit yang terakhir. Kerana apa? Kerana ingin menilai siapa yang paling baik amalnya”.

“Kalau anta rasa kesunyian dan keseorangan ketika bekerja di lokaliti, itu adalah satu proses untuk anta cepat matang dalam tarbiyah supaya menjadi lebih kuat dalam survival kehidupan. Anta akan cepat belajar banyak perkara. Kalau anta tak rasa susah buat kerja dakwah maka itu bukan dakwah akhi, itu main-main dalam dakwah!”

“Bila kita menghadiri program-program tarbiyah bukanlah keseronokan yang kita cari semata-mata tetapi apa yang kita hendak adalah rasa kekuatan dan pergantungan kepada Allah untuk menyiapkan diri kita bertarung dengan dengan realiti dunia hari ini yang penuh cabaran, mehnah dan tribulasi dalam menegakkan yang haq. Sejarah para anbiya’ dan rasul serta para sahabat telah membuktikan bahawa dakwah mesti dijiwai dengan semangat yang kuat, yakin dan kefahaman, ikhlas dan sedia untuk berkorban. Masih ingat rukun pemuda dalam risalah ila syabab?” Aku mengangguk bersetuju.

“Dakwah pasti akan ditentang, dikecam, dan tidak diterima oleh masyarakat. Hakikatnya ia adalah satu jalan yang panjang. Duat mesti merasai kekurangan duit, penat tidak cukup masa. Tapi itu bukanlah alasan untuk kita cepat berputus asa, kita kena cepat belajar untuk matang dan berjiwa besar. Orang yang hendak bersama dakwah ini biasanya dimulakan dengan orang yang biasa-biasa tetapi atas kemahuan yang luar biasa potensinya digilap menjadi orang luar biasa, contohnya entalah akhi.”

‘South circular road’

Driver bas membuat pengumuman melalui corong speaker. Aku tersentak dari lamunan ku. Aku segera mengambil beg galasku lalu cepat-cepat aku turun dari tangga bas dan menuju ke pintu keluar bas. Selepas mengucapkan ‘Thank You’ kepada pemandu bas tadi aku segera melangkah keluar berjalan menuju ke masjid kerana rumah aku terletak lebih kurang 500m dari masjid.

“Esok nak kena bangun awal solat subuh di masjid, rugi kalau tidak dapat join Syeikh Yahya solat subuh. Harap-harapnya dapat la aku lengkapkan mutabaah amal subuh jemaah aku complete set untuk minggu ni” aku bermonolog sendirian sambil melangkah kaki yang kian penat melangkah dari seharian melengkapkan rutin harian ku sebagai seorang pelajar perubatan pada waktu paginya dan sebagai seorang murabbi pada malamnya.

Sebaik saja aku kalihkan pandanganku ke seberang jalan, aku ternampak naqibku juga sedang berjalan baru pulang dari destinasi yang entah aku tidak pasti dari mana tempatnya. Dia juga tersenyum kepenatan dari jauh, lalu dia menjerit dengan suara yang agak kuat,

“Kerana dakwah sifatnya begitu, Akh! Jumpa esok subuh jemaah!”

Oleh Mohammad Aiman Hazim Zamri
Aktivis Isma Syukbah Tanjung