Kemuliaan kerana ilmu


Ilmu dalam kehidupan manusia ibarat irama dan lagu, perlu hadir dan digarap seiringan oleh sang pemuzik sebelum terhasilnya bait-bait melodi indah untuk didengari. Gandingan ini membentuk suatu yang gah pada penghujungnya, lantas memberi impak yang besar kepada si pendengar. Maka, begitu jugalah hubungan ilmu dengan manusia kerana kebanyakan manusia yang hebat ini pada asasnya mempunyai ilmu yang tinggi. Barangkali persoalan rasionalnya ilmu dalam kehidupan manusia masih lagi bermain-main di minda sesetengah manusia itu sendiri dan tanpa mereka sedar bahawa sebarang kemusykilan yang timbul juga merupakan suatu cabang ilmu yang perlu dirungkai untuk mendapatkan penyelesaian.

Imam Al-Ghazali pernah berkata “Ciri yang membezakan manusia dan haiwan adalah ilmu. Manusia adalah manusia mulia yang mana ia menjadi mulia kerana ilmu, tanpa ilmu mustahil ada kekuatan”. Melalui kata-kata ini maka jelaslah bahawa pentingnya ilmu dalam kehidupan manusia sehingga ilmu yang dimiliki oleh seseorang mampu menjadi kayu ukur bagi membezakan antara manusia dengan haiwan. Bahkan, kemuliaan seseorang manusia juga turut digambarkan melalui pemilikan ilmu. Lazimnya, orang yang berilmu dilihat lebih tersusun gerak atur langkahnya dalam kebanyakan perkara yang dikerjakan sehingga melahirkan suatu aura yang berbeza dengan seseorang yang jahil atau kurang ilmu. Lengok gaya, keperibadian, adab sopan dan tutur kata orang yang berilmu lebih terjaga kerana mereka mempunyai pengetahuan yang mereka miliki telah membentuk diri mereka.

Mencari ilmu bukanlah sesuatu yang mudah. Usaha mencari ilmu menuntut seribu macam pengorbanan dan pelbagai jerit perih yang terpaksa dilalui. Masakan seseorang itu di awal persekolahannya terus pandai membilang, membaca rumi atau jawi dan sebagainya tanpa ada sebarang usaha yang dilakukan oleh diri sendiri, guru mahupun ibu bapa. Kefahaman yang dikecapi mengenai sesuatu ilmu sebenarnya menuntut sebuah pengorbanan walaupun sekecil-kecil pengorbanan. Sebagai contoh, seorang pelajar sekolah perlu bangun seawal pagi lagi untuk bersiap ke sekolah. Meskipun setiap ujian yang dihadapi dalam mengecapi kejayaan untuk menjadi seorang yang berpengetahuan adalah berbeza-beza perkara tetap menuntut seseorang itu menjadi lebih cekal dan tabah. Dengan itu, ilmu telah dapat mendidik manusia menjadi seseorang yang  berwawasan dan tidak mudah putus asa.

Apabila difikir balik untuk apakah seseorang itu menuntut ilmu? Adakah untuk mendapat pekerjaan ataupun menjawab peperiksaan semata-mata?. Pastinya semua jawapan pada persoalan ini hanya mampu dijawab oleh manusia itu sendiri kerana masing-masing mempunyai niat yang berbeza tetapi tidak dinafikan ada di antara manusia yang menuntut ilmu dengan sebenar-benarnya dan sangat bersungguh-sungguh. Walau bagaimanapun, sekalipun niat yang tersemat dalam diri masing-masing, setiap manusia harus ingat bahawa ilmu yang dipelajari bukanlah sekadar untuk dihafal semata-mata tetapi hendaklah diikuti dengan kefahaman. Hal ini dapat dilihat daripada kata-kata Iman Syafie bahawa “Ilmu itu bukan yang dihafal, tetapi yang memberi manfaat”. Jelaslah bahawa kefahaman dalam menuntut ilmu merupakan suatu komponen yang penting kerana apabila seseorang itu faham, maka senanglah bagi mereka untuk mengajar dan berkongsi ilmu dengan yang lain sekali gus menjadikannya seorang yang memberi manfaat.  Sebagai contoh, seorang guru yang ingin mengajar anak-anak muridnya perlulah memahami dan menguasai ilmu tersebut sebelum memulakan proses pembelajaran.

Kesimpulanya, ilmu adalah suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia secara amnya. Masakan ada pepatah mengatakan “tuntulah ilmu hingga ke negeri China” sekiranya ilmu ini tidak menjadi keutamaan manusia. Setiap manusia perlulah menanamkan konsep cintakan ilmu pengetahuan dalam diri masing-masing. Umat Islam khususnya, perlulah sedar bahawa tidak ada perkara yang mampu memajukan diri mahupun melemahkan musuh Islam kecuali dengan penguasaan ilmu yang mantap. Maka, bertatih-tatihlah dari sekarang, kuasai ilmu tidak kira dalam bidang apa pun selagi ilmu tersebut bermanfaat untuk diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Oleh  Norfatini Shamimi Arifin
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU).