Jangan sibuk menjaga jasad, sibuklah menjaga amal

Peredaran zaman, menjengah kita dengan iklan-iklan serta produk-produk bagi penjagaan fizikal iaitu jasad. Pelbagai cara yang digunakan oleh pihak pemasaran bagi menarik orang ramai untuk membeli serta menggunakan produk keluaran terbaru mereka bagi menampakkan dan menonjolkan tubuh badan yang sempurna. Dari produk kecantikan untuk pemutihan sehingga ke produk untuk membina badan yang ideal. Maka, berpusu-pusulah orang ramai mendapatkan produk-produk terlaris tersebut.

Tambahan pula, dengan gelombang media massa sekarang telah mengubah perspektif masyarakat mengenai definisi cantik bagi seseorang itu. Seperti yang diwar-warkan oleh media massa, cantik itu digambarkan mempunyai susuk tubuh yang ramping bagi perempuan dan mempunyai otot-otot bagi lelaki. Selain itu, individu yang mempunyai kulit yang cantik juga digambarkan seorang yang cantik tanpa mengambil kira aspek lain. Media juga turut mengangkat individu yang tergolong dalam kalangan tersebut sebagai ikon masyarakat.

Hal ini mengakibatkan masyarakat disibukkan dengan menjaga penampilan luaran mereka, mereka tidak lagi ditekankan untuk menjaga tingkah laku yang sopan dan beradab. Justeru, jika diperhatikan sekarang bahawa kurangnya adab tatasusila individu tersebut walaupun dari luarannya adalah sempurna. Jika kita lihat, pada zaman sebelum tercetusnya fenomena ini, masyarakat kerap kali ditekankan untuk menjaga budi bahasa kerana dari situ lahirnya manusia yang beradab. Apa gunanya mempunyai jasad yang sempurna, tapi hati kosong tanpa iman dan adab.

Memang benar, kita memerlukan jasad yang sihat dan sempurna untuk terus beribadah kepada Allah, tapi janganlah kita terlalu disibukkan menjaga jasad sehingga kita lupa menjaga amal kita. Kita perlu bersenam bagi mengembalikan kecergasan badan dan minda untuk meneruskan ibadah di malam hari dan kita perlu mendapatkan vitamin serta makanan yang berkualiti untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan kita. Tapi, dalam masa yang sama, kita juga memerlukan makanan untuk rohani dan dalaman kita. Bekalkan hati kita dengan amalan-amalan yang mampu membangkitkan keimanan kita kepada Allah. Dengan amalan-amalan kerohanian ini akan melahirkan individu yang cemerlang dan berupaya berbakti kepada masyarakat. Akhir kata, pemuda yang gagah bukanlah yang selalu angkat dumbbell, tapi yang selalu angkat takbir subuh, Allahuakbar!

Oleh Siti Masitah Abul Rahman
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU)