Berkat Tawaduk


Tawaduk diertikan sebagai rendah hati, tidak sombong atau apabila kita tidak merasakan diri kita memiliki nilai yang lebih berbanding orang lain. Tawaduk menjadikan kita sedar bahawa semua kenikmatan yang kita peroleh adalah daripada Allah SWT. Dengan pemahaman tersebut, maka tidak akan terbit sedikitpun dalam hati kita rasa kesombongan, lebih baik daripada orang lain, tidak merasa bangga dengan bakat serta kejayaan yang sudah dicapai. Bahkantetap merendah diri, selalu menjaga hati, menjaga niat amal-amal kebaikannya dan menjaga keikhlasan amal ibadahnya hanya kerana Allah SWT.

Tawaduk merupakan salah satu akhlak terpuji yang wajib dimiliki oleh setiap umat Islam. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tiada berkurang harta kerana sedekah, dan Allah tiada menambah pada seseorang yang memaafkan melainkan kemuliaan. Dan tiada seseorang yang bertawadhu’ kepada Allah, melainkan dimuliakan (mendapat ‘izzah) oleh Allah (HR. Muslim).

Iyadh bin Himar ra. berkata: Bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewahyukan kepadaku: “Bertawadhu’lah hingga seseorang tidak menyombongkan diri terhadap lainnya dan seseorang tidak menganiaya terhadap lainnya (HR. Muslim).

Tanda orang yang tawaduk adalah apabila semakin bertambah ilmunya maka semakin bertambah sikap tawaduk dan kasih sayangnya. Semakin bertambah amalnya maka semakin meningkat rasa takutnya kepada Allah. Semakin bertambah usianya maka semakin berkurang ketamakan nafsunya. Semakin bertambah hartanya maka bertambah sifat dermawan dan keinginannya untuk membantu orang lain. Dan semakin tinggi kedudukan dan pangkatnya maka semakin dekat dia dengan manusia dan berusaha untuk menunaikan keperluan dan bersikap rendah hati terhadap mereka. Ini kerana orang yang tawaduk sedar bahawa segala nikmat yang diperolehnya daripada Allah SWT iaitu untuk mengujinya sama ada dia bersyukur atau tidak.

Firman Allah: “…Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Barangsiapa bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia” (An Naml: 40).

”Dan janganlah engkau berjalan di bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung.” (Al-Isra: 37)

“Negeri akhirat itu Kami jadikan bagi orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerusakan di bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu bagi orang-orang yang bertakwa” (Al-Qasas: 83).

Sementara itu, Abu Said Al-Khudarii ra. pernah berkata: “Jadilah kalian seperti Nabi SAW, beliau menjahit bajunya yang sobek, memberi makan sendiri untanya, memperbaiki rumahnya, memerah susu kambingnya, membuat sandalnya, makan bersama-sama dengan pembantu-pembantunya, memberi mereka pakaian, membeli sendiri keperluannya di pasar dan memikulnya sendiri ke rumahnya, beliau menemui orang kaya mahupun miskin, orang tua mahupun anak-anak, mengucapkan salam terlebih dahulu tidak mengira tua atau muda, warna kulit, orang merdeka mahupun hamba sahaya termasuklah orang yang suka solat.”

Dan beliau SAW adalah orang yang sangat rendah hati, lembut perangainya, dermawan yang luar biasa, indah perilaku, berseri-seri wajahnya, murah senyuman pada siapa saja, sangat tawadhu’ tapi tidak sehingga menghinakan diri, dermawan tapi tidak berlebih-lebihan, mudah hiba hatinya, dan sangat penyayang pada semua muslimin. Beliau SAW datang menziarahi orang sakit, menghadiri pengebumian, memenuhi undangan daripada siapa sahaja dan di mana sahaja. Ketika pemerintahan beliau, datang seorang A’rabiy dengan gementar seluruh tubuhnya, maka beliau yang mulia segera menghampiri orang tersebut dan berkata, “Tenanglah, tenanglah, saya ini bukan raja, saya hanyalah anak seorang wanita Quraisy yang biasa makan daging kering” (HR Ibnu Majah-3312 dari Abu Mas’ud al-Badariiy).

Kita sangat memerlukan tawaduk bagi menjaga amal kebaikan agar tetap tulus ikhlas, murni dari tujuan selain Allah. Kerana sangat banyak godaan yang datang, yang selalu berusaha mengotori amal kebaikan kita. Disaat menerima pujian, maka terasa semakin sulit bagi kita untuk tetap menjaga kemurnian amal soleh, tanpa terbit rasa bangga di hati kita. Disinilah sangat diperlukan tawaduk dengan menyedari sepenuhnya, bahawa sesungguhnya segala amal soleh, amal kebaikan yang mampu kita lakukan, semua itu adalah kerana pertolongan dan atas izin Allah SWT.

Tawaduk mutlak dimiliki oleh para pendakwah yang berjuang menegakkan agama Islam di muka bumi ini untuk menjayakan misi dakwah. Kerana jika tidak, maka disaat mendapatkan pujian, jemaah, dikagumi orang atau mulai dikenali ramai, tanpa tawaduk, pendakwah pun tidak akan lari daripada berbangga diri atas kejayaannya. Oleh itu, agar dengan adanya tawaduk dalam diri, kita dapat menjalani kehidupan seharian yang lebih baik dan mendapat keredaan daripada Allah SWT. InsyaAllah.

Oleh Norbaya A.Rahim
Penulis merupakan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU)