Bahagian 2: Bina Keprihatinan Elak Ditipu

Terdapat dua cara untuk menuntut kerosakan kenderaan anda. Pertama, tuntutan dari syarikat insurans anda. Kaedah pertama ini bermaksud, anda haruslah meneliti polisi insurans anda dan mencatat perenggan tuntutan lebihan di dalam polisi. Jika mahu menuntut daripada syarikat insurans anda, tuntutan mestilah melebihi peruntukan perenggan tuntutan lebihan tersebut. Kemudian, syarikat insurans akan membayar perbezaan di antara tuntutan anda dan jumlah lebihan. Sebagai contoh, jika perenggan tuntutan lebihan ialah RM1000.00 dan tuntutan anda ialah RM800.00, anda tidak boleh menuntut daripada syarikat insurans anda. Tetapi, jika tuntutan anda berjumlah RM1800.00, anda akan dibayar RM800.00. Anda perlu ingat bahawa tuntutan dari syarikat insurans anda boleh menyebabkan anda hilang ‘bonus tiada tuntutan’. Cara kedua adalah, anda boleh menuntut dari syarikat insurans pihak lain. Jika demikian, dinasihatkan untuk anda mengambil perkhidmatan seorang peguam.

Jika anda ingin mgambil perkhidmatan peguam untuk membuat tuntutan, anda berhak mengambil peguam anda sendiri. Jangan mudah terpengaruh dengan orang lain. Sebaik memilih peguam anda, peguam akan meminta anda menandatangani waran yakni dokumen untuk beliau memulakan tugas. Segala bukti dan dokumen yang disimpan oleh anda diserahkan kepada beliau untuk pertimbangan dan menjelaskan kepada anda jenis dan jumlah tuntutan yang layak diterima. Beliau juga akan menulis surat kepada balai polis untuk mendapatkan salinan laporan polis dan peta lakaran tempat kejadian.  Kemudian, beliau akan mengutus surat kepada syarikat insurans berkenaan untuk dapatkan ganti rugi. Jika tidak dapat, beliau akan failkan dakwaan sivil. Kebiasaannya, mereka yang mengalami kecederaan boleh menuntut ganti rugi khas dan ganti rugi am. Ganti rugi khas hanya melibatkan perbelanjaan kewangan khas yang dibelanjakan penuntut asbab kemalangan tersebut. Manakala ganti rugi am merujuk kepada ganti rugi akibat kesakitan dan penderitaan berikutan kecederaan.

Jika hal ini perlu dibicarakan di mahkamah, mereka akan memutuskan mengenai liabiliti yakni siapa yang bertanggungjawab menyebabkan kemalangan dan kuantum iaitu berapa banyak yang perlu diberi oleh pihak yang cedera. Sekiranya defenden bertanggungjawab sepenuhnya, maka dia bertanggungjawab 100%. Terdapat juga keadaan di mana orang yang membuat tuntutan juga bertanggungjawab ke atas kemalangan  tersebut. Jika terbukti, maka plaintif akan dikatakan turut cuai. Maka, mahkamah akan menaksir tahap tanggungjawab si penuntut perihal peratusan dalam menyebabkan kemalangan dan mengurangkan jumlah yang sepatutnya. Jadi, jika mahkamah mendapati yang si penuntut bertanggungjawab 50%, maka mahkamah akan mengurangkan jumlah kuantum sebanyak 50%.

Kes akan selesai apabila cek dikeluarkan oleh syarikat insurans di atas nama anda dan dihantar kepada peguam anda. Beliau akan memaklumkan kepada anda untuk mengambil cek terbabit di pejabatnya.

Oleh Nur Najihah binti Ahmad Zulkarnain
Peguam