Bahagian 1: Bina Keprihatinan Elak Ditipu

Kebanyakan masyarakat kita pada hari ini, terutamanya kaum Hawa apabila berhadapan dengan situasi kemalangan di jalan raya yang disebabkan kecuaian oleh pihak lain, mereka begitu mudah memandang sepi. Natijahnya, diri sendiri yang terpaksa menderita dan memendam rasa akibat kesalahan orang lain. Malah, ada juga yang menjadi kambing hitam sedangkan diri sendiri tidak mengerti apa yang terjadi. Hal ini berlaku kerana kekurangan maklumat dan ketidakprihatinan terhadap isu dan undang-undang jalan raya yang boleh menyelamatkan diri.

Apabila berhadapan dengan kemalangan yang membabitkan dua atau banyak pihak, yang penting adalah jangan panik. Tenangkan diri anda. Dalam masa yang sama, jangan lupa untuk mendapatkan maklumat-maklumat penting mengenai kenderaan yang telibat. Dapatkan nombor pendaftaran, jenis dan warna kenderaan. Kemudian, dapatkan butiran maklumat pemandu, penumpang dan saksi yang terbabit dengan mencatatkan nama, alamat, nombor kad pengenalan, lesen memandu dan nombor telefon untuk dihubungi. Gunakan kamera anda untuk mengambil gambar tempat kemalangan dan kenderaan yang terlibat. Simpan negatifnya ditempat yang selamat kerana bahan tersebut boleh dijadikan bukti di mahkamah.

Masyarakat terlalu mengambil mudah dalam membuat laporan polis setelah berlakunya kemalangan. Kebanyakan lebih suka memilih untuk mendiamkan diri. Tapi, sejauh mana kita mampu untuk berdiam hingga menyebabkan diri teraniaya. Sebaiknya, buat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas berlakunya kemalangan di balai polis yang berhampiran. Jika anda mengalami kecederaan, dapatkan rawatan terlebih dahulu kemudian barulah membuat laporan polis di pondok polis di hospital. Anda boleh menulis laporan dalam Bahasa Malaysia dan menurunkan tanda tangan di bawah laporan tersebut. Seandainya, anda tidak mampu menulis bolehlah jelaskan kepada pegawai polis bertugas untuk menulis laporan berkenaan. Setelah siap laporan ditulis, minta salinan sah laporan berkenaan.

Sebaik selesai membuat laporan polis, anda seharusnya membaca dan menyemak polisi insurans anda dengan teliti. Laporkan perihal kemalangan yang dihadapi kepada syarikat insurans berkaitan dalam masa yang ditetapkan didalam polisi. Kegagalan anda melaporkan dalam masa yang ditetapkan akan menyebabkan kes anda tidak dilayan. Penting untuk anda memastikan kenderaan anda ditunda ke bengkel yang diiktiraf sahaja. Di sana, kerosakan kenderaan anda akan ditaksir dan dinilai oleh penaksir syarikat insurans berkenaan. Sekiranya anda cedera, dapatkan rawatan dengan segera berserta laporan rawatan dan salinannya. Setelah mendapatkan salinan laporan polis, salinan rawatan, perincian maklumat berkaitan kemalangan, resit perbelanjaan berkenaan rawatan perubatan, kerosakan kenderaan dan dokumen lain yang mengukuhkan untuk anda membuat tuntutan, simpan dan pastikan setiap rekod adalah betul untuk memudahkan urusan tuntutan kelak.

Oleh Nur Najihah binti Ahmad Zulkarnain
Peguam