Apabila hati sudah mula hilang rasa bertuhan


Salam buat para pejuang,

Antara cabaran berada dalam marhalah dakwah dan tarbiyah, memungkinkan kita akan diuji dengan pelbagai dugaan, mehnah dan tribulasi yang kadang-kadang kita tidak akan tahu bagaimana sifat dan bentuknya. Ketahuilah Allah SWT akan menguji setiap diri yang mengaku ingin mewaqafkan dirinya di jalan dakwah dengan titik kelemahan mereka.

Ada orang Allah SWT beri kelebihan dengan seni tajmik dan muayashah hebat dengan mad’u, tetapi dia tewas dalam urusan ikhtilat (dia diuji dengan soal hati dan perasaan). Ada orang mampu menginfaqkan seluruh harta untuk program umum dakwah, tetapi belum tentu dia mampu untuk meninggalkan kamar tidurnya untuk bertahajud pada setiap malam dan subuh berjemaah pada setiap hari di masjid (dia diuji dengan nafsu kebiasaan). Ada orang kuat hafazan al-Qurannya dan komitmennya semasa halaqah mingguan, tetapi dia mungkin diuji dengan lemahnya dalam urusan akademik. Ada orang begitu disiplin dalam mutabaah amal, tetapi sayang diuji dengan urusan rumah tangga yang tidak stabil. Ada orang mungkin mampu memimpin organisasi dengan baik, tapi sayang kurang disiplin dalam urusan amal fardi.

Ujian boleh terjadi dalam pelbagai bentuk, seperti hati dan perasaan, kewangan, akademik, kerjaya, keluarga dan rumah tangga, dan kesihatan.  Malah apa yang membimbangkan adalah apabila kita diuji dan terus diuji dengan titik kelemahan diri kita sehingga akhirnya hilang dan terus menjauh dari dakwah. Namun persoalannya mengapa?

Kerana itulah sunnahnya seperti yang termaktub dalam Al-Quran:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah: 214)

Nabi Ibrahim AS diuji oleh Allah SWT untuk membenarkan keimanannya kepada Allah sehingga terpaksa mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS walaupun telah berpisah untuk satu tempoh yang lama. Bayangkan untuk satu tempoh yang lama tidak bersua atas perintah Allah, tetapi diwahyukan oleh Allah untuk menyembelih anak yang dirindui selepas bertemu semula. Bayangkan para Nabi diuji dengan sedemikian rupa.

Ada yang diuji dengan kesihatan seperti Nabi Ayub, Ada yang diuji dengan masalah sosial masyarakat seperti Nabi Lut dan Nabi Nuh yang diuji dengan keluarganya yang menolak seruan dakwahnya. Malah kalau kita merenungi sirah lain para anbiya’ dan sejarah kehidupan para salafus soleh, mereka semua diuji dengan pelbagai dugaan dan ujian semata-mata hanya satu untuk membenarkan keimanan mereka kepada Allah SWT. Alhamdulillah mereka terus kekal istiqamah. Namun, bagaimana pula dengan kita umat akhir zaman yang hanya sekadar iman senipis bawang?

Duhai Ikhwah Akhawat,

Pantaskah engkau masih bersikap culas dalam soal urusan qalbumu dengan Penciptamu setelah engkau mengetahui bahawa engkau akan/sedang/telah diuji dengan titik kelemahanmu. Kita lebih mengetahui akan titik kelemahan diri kita. Titik kelemahan kita akan mula membarah apabila kita telah mula goyah dalam urusan ibadah, khusyuk solat mula hilang manisnya, al-Quran hanya sekadar buku perlembagaan di dalam almari, air mata jarang sekali dititskan malah apa yang paling merisaukan hati mula berjinak dengan banyaknya perkara harus sehingga melalaikan hati.

Oleh kerana itu, tidak mustahil ada mereka yang beriman dengan manhaj nabawi pada masa yang sama kuat bermain game, movie, akhlak yang tidak mencerminkan seorang mukmin musleh malah sehingga terbawa-bawa ke arah perkara yang haram. Nauzubillah.

Sungguh, fitnah paling terbesar bagi seseorang daie adalah apabila dia telah mula longgar akan menjaga soal ruhi dan tarbawinya kepada Tuhannya. Hatinya mula longgar untuk berbicara akan soal Rabb-Nya, tidak kuat, mudah robek dan koyak. Hanya cantik di mata manusia tetapi rosak dalam kalangan penduduk langit.

Aku sungguh takut akan saat itu, apabila sang daie sibuk berbicara akan soal mad’unya, risau dan takut akan pembangunan sosial mereka, tetapi pada masa yang sama mereka mengabaikan solat mereka. Hatinya hilang dalam solat, kosong dan tiada kualiti. Tiada kemanisan. Hatinya mula membusuk.

Aku sungguh takut akan saat itu, apabila sang daie sibuk ke hulur ke hilir mentajmik manusia dan masyarakat, konon-kononnya untuk ummah, namun dia telah lama tidak membaca kalam-kalam suci Tuhan. Disangkakan untuk agama tetapi hatinya mati, sudah lama tidak dihidupkan.

Aku sungguh takut akan saat itu, apabila dakwah si daie hebat hanya di blog, facebook, twitter, dan instagram, tetapi hina di sisi Allah, kerana mengejar status ‘like’,’share’ dan ‘comment’ semata-mata tanpa ada keikhlasan dalam mengejar redha-Nya. Nampak gah, tetapi kosong nilainya.

Ya, aku takut akan saat itu, hebatnya si daie pada siang hari ketika berorganisasi dan berpersatuan, (semangat kerjanya, laju amal jamaienya), programnya gah, bironya hebat disebut-sebut, namun pada malamnya rupa-rupanya sudah lama meninggalkan tahajud cinta mendambakan cinta Agung. Aduh, sayangnya.

Aku juga takut akan saat itu, sang daie menangis kesalkan nasib umat yang lama tidak berubah, hanya merungut sampai bila ia akan berakhir, cita-citanya menjulang tinggi melaungkan ustaziyatul alam, tetapi rupa-rupanya pada masa yang sama taubatnya tidak pernah ditepati, air mata taubat kerana dosa yang dilakukan sudah lama tidak dititiskan. Dosanya penyebab kemenangan tertangguh.

Namun yang paling aku takuti, dan aku sangat risau, apabila si daie yang hatinya mati mula berbicara untuk menghidupkan hati-hati insan lain yang dhaif.

Ayuh Muharikun, Hati Kita Memerlukan Istighfar!

Cuba tanya dalam diri kita, sejauh mana rasa BerTuhan itu ada dalam diri kita? Adakah hanya sewaktu program sahaja? Adakah hanya ketika halaqah mingguan atau katibah bulanan sahaja? Di sinilah ujian pertama bermula tatkala berseorangan. Carilah masa dan bekal amalmu tatkala berseorangan ketika bukan bersama ikhwah/akhawat.

Ya, sahih. Mulakan dengan perkara asasi, perbaikilah solatmu. Carilah ketenangan dalam khusyuk solatmu yang telah hilang. Biasakan dengan disiplin yang wajib agar diberikan kemanisan dalam ibadah. Carilah ketenangan dalam sujudmu sehingga engkau memperoleh kemanisan dalam solatmu. Alangkah manisnya perasaan itu sebagaimana manisnya Rasulullah beribadah sehingga bengkak kedua-dua belah kaki Baginda. Allahu.

Carilah ketenangan dengan membaca ayat-ayat Cinta kalam dan Firman Tuhan pada tiap-tiap hari sebelum tidurmu dan sesudah kamu terjaga dari tidur. DIsitulah kekuatannnya. Hati disirami dengan syifa’ dari kalam Tuhan.

Menangislah wahai pendosa, merintihlah pada 1/3 malam agar Allah memberikan kita hati yang dulu. Hati yang cepat tersentuh sewaktu mendengar taujihat daripada murabbi masa dikau mengenal manisnya tarbiyah. Hati yang mula sensitif dengan dosa dan maksiat. Hati yang bukan sahaja baik tatkala ketika berprogram bersama ikhwah dan akhawat tetapi ketika baik juga berseorangan di medan amal. Bertaubatlah wahai para muharikun kerana dosa-dosa yang menggelapkan hati akan terus menerus menghijab hidayah dari terus masuk ke dalam qalbu. Moga kita akan memperoleh ketenangan yang hakiki agar menjadi bekal untuk istiqamah di atas jalan dakwah dan tarbiyah sepertimana Firman Tuhan yang mulia:

“Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai; lalu masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurgaKu” (QS al-Fajr [89]: 27-30)

Ketahuilah, bahawa kehidupan ini adalah kembara hati yang menuju ke destinasi akhirat yang pasti. Sungguh manisnya dambaan cinta pemilik syurga yang hakiki. Dekatnya hati dengan kebaikan dan taubat serta syukur menambahkan kelazatan ibadah. Alangkah palsunya dunia yang dikejar tanpa henti kerana hanya bersifat sementara.

Teruskan berjalan wahai roh dan hati. Moga rasa berTuhan itu akan kita ketemui.

Oleh Mohammad Aiman Hazim Zamri
Aktivis Isma Syukbah Tanjung