Watak

watak

Bismillahirrahmanirrahim…

Dalam hidup manusia, mereka diberikan pilihan untuk hidup dengan watak-watak yang pelbagai.
Watak yang saya maksudkan ialah peribadi ataupun susuk tubuh seseorang manusia, watak ini bukanlah suatu paksaan yang seseorang itu tidak mampu merubahnya, bahkan Allah SWT memberikan kelapangan dan tunjuk ajar supaya manusia memilih watak yang sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Allah SWT berfirman: “Maka Allah mengilhamkan kepadanya (apa yang) jahat (buruk) dan (apakah yang) (baik) taqwa”.

Allah SWT berfirman lagi: “Telah berjaya siapa yang membaikinya (dengan memilih jalan kebaikan), dan telah rugi siapa yang merosakkannya (dengan memilih jalan kerosakan)”.

Allah SWT dalam ayat kedua diatas memberitahu kepada kita bahawasanya, manusia pada asalnya berada didua persimpangan yang merupakan kehendakNya (Qadar) yang Esa, mesti dilalui oleh semua manusia, lalu ia sendiri memilih jalan yang akan dilaluinya.

Oleh itu sahabat, kita kena pilih dengan betul laluan kita. Antara watak yang diperhatikan dalam harian kita:
1. Orang kafir yang menolak semua dalil termasuk dalil yang datang dari fitrah dirinya sendiri.

2. Orang Islam yang bermuka dua, satunya didalam dan ianya busuk, itulah hakikat dirinya, dan satu lagi nampak baik diluar, itu tanggapan manusia kepadanya.

3. Orang Islam yang tiada peningkatan dalam dirinya, hanya mengganggap agama adalah hanya sebahagian dalam hidupnya, dunia tempatnya, maka dia bersungguh membina kehidupan dunianya dengan ilmu dan aset-aset didunia, kemajuannya adalah kemajuan duniawi, urusan agamanya makin hari makin mundur dalam keadaan dia tidak sedar, sebahagian yang besar lama-lama boleh mengecil, bila habis bahagian, jadilah dia golongan kedua iaitu manusia yang sama tahap dengannya akan menyanjungnya tinggi kerana pencapaian duniawinya, disangkanya sahabat yang memberi semangat, tetapi hakikat, dia hanyalah penuh dengan maslahat (kepentingan) dan niat jahat.

4. Orang Islam yang dalam dirinya berkecamuk memakai watak yang berbagai-bagai, kadangnya baik kadangnya jahat, kadangnya bertaubat kadangnya sengaja buat. Dia antara dua jalan, memilih untuk berubah atau kekal, jika dia pilih jalan kekal dengan menghiraukan semua nasihat dan teguran, maka lama-lama hatinya akan rosak kerana lamanya dia dalam satu keadaan tanpa ada perubahan.

5. Orang Islam yang hakikat dirinya taqwa kepada Allah, biar ada sedikit dosa yang tak disengajakan, tapi dia bertaubat dan menambah dirinya dengan pahala, sentiasa meningkatkan dirinya, sentiasa memastikan dalam dan luarannya sama sahaja, sentiasa berdoa supaya Allah thabatkan dirinya atas Iman dan taqwa, sentiasa mencari tambahan kepada imannya dan urusan akhiratnya. Ini orang yang selamat, kerana dia pilih jalan selamat.

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap hari semua manusia akan berpagi-pagian, ada yang memilih untuk membebaskan dirinya daripada belenggu api neraka, ada pula yang memilih untuk menjerumuskan dirinya dalam api neraka dan merugikan dirinya sendiri”.

Namun atas semua watak diatas, Allah SWT sentiasa Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Allah SWT berfirman: “Dan Aku Maha Pengampun akan ampunkan bagi mereka yang memilih untuk bertaubat, beriman, berbuat baik, dan memilih jalan hidayah”.

Namun, untuk dapat keampunan, kena pilih.

Saya menyeru, ayuh sahabat, sama-sama kita bertaubat kepada Allah SWT, memilih untuk berada diatas jalanNya yang Esa, menaikkan dan meningkatkan diri dengan iman, taqwa, dan amal soleh. Peperangan watak ini sehingga ke hari kiamat, berperanglah dengannya semoga kau berjaya.

Pilihlah watak hidupmu dengan betul wahai sahabat.

Wallahu’alam…

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ustaz Muhammad Ikram Bin Abu Hassan
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Ketua Biro Belia Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Caw SPU
Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pulau Pinang